Home Teknologi Pertahanan Indonesia bakal terima kereta kebal baharu dari Turki

Indonesia bakal terima kereta kebal baharu dari Turki

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 17 Mac – Indonesia bakal menerima kereta kebal baharu Kaplan MT keluaran FNSS Turki.

Pihak FNSS dalam satu kenyataan berkata, penghantaran Kaplan MT ke Indonesia sedang dilaksanakan.

Pada Selasa lalu, satu majlis meraikan kejayaan penghasilan kereta kebal secara serial telah diadakan di Turki.

“Kejayaan penghasilan kereta kebal ini merupakan contoh terbaik hasil kerjasama industri pertahanan kedua-dua negara (Turki dan Indonesia),

“Kerjasama sebegini membawa kepada hasil menang-menang kepada semua pihak,” kata Ketua Pengarah Eksekutif FNSS, Kadir Nail Kurt.

Beliau menambah, penghantaran Kaplan MT merupakan eksport kereta kebal pertama dalam sejarah industri pertahanan Turki.

Kaplan MT (Harimau) merupakan projek bersama antara Turki dan Indonesia yang bermula semenjak pada tahun 2015.

Pada akhir tahun 2019, Indonesia telah melakukan perolehan sebanyak 18 buah kereta kebal sederhana ini.

“Kenderaan ini dibangunkan mengikut skop projek dan telah dipersembahkan kepada Tentara Nasional Indonesia – Angkatan Darat (TNI-AD), Kementerian Pertahanan Indonesia dan PT Pindad,” kata FNSS dalam satu kenyataan.

Menurutnya, kesemua kereta kebal yang dihantar ke Indonesia akan menjalani pemasangan turet sebelum diserahkan kepada TNI-AD untuk ujian penerimaan akhir. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply