Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat 513 unit Rumah Keluarga Angkatan Tentera di Kem Lok Kawi siap 2025

513 unit Rumah Keluarga Angkatan Tentera di Kem Lok Kawi siap 2025

by Air Times News Network

LOK KAWI, 26 Feb – Sebanyak 513 unit Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di Kem Lok Kawi dijangka siap sepenuhnya pada 2025.

Markas Divisyen Kelima Infantri Malaysia (5 Div) dalam kenyataan berkata, projek pembangunan bernilai RM188 juta ini melibatkan kemudahan lain seperti tempat letak kenderaan terbuka, 4 unit taman permainan kanak-kanak, pencawang elektrik, menara tangki, rumah pam dan 14 unit rumah sampah.

Acara menandatangani surat setuju terima (SST) pembinaan RKAT tambahan pelbagai kelas Kem Lok Kawi di antara Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia, Datuk Ir Mohamad Zulkefly Sulaiman dengan wakil syarikat kontraktor yang dilantik disaksikan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya Malaysia, Datuk Arthur Joseph Kurop di Dewan Kinabalu Kem Lok Kawi, semalam.

“Buat masa ini Kem Lok Kawi mempunyai sebanyak 462 unit RKAT bagi pasukan-pasukan yang berada di Kota Kinabalu di bawah tanggungjawab Markas Staf Stesen Lok Kawi,

“Jumlah ini masih tidak mencukupi menyebabkan ada di antara warga tentera menyewa di luar kawasan kem dengan kadar sewaan yang tinggi serta jarak perjalanan jauh dari rumah ke tempat kerja,” katanya.

Menurutnya, projek pembinaan ini merupakan sebahagian daripada perancangan Tentera Darat Malaysia (TDM) sejajar dengan hasrat pihak kerajaan dalam menyediakan kediaman yang selesa mengikut kelayakkan serta memenuhi Aspirasi Keluarga Malaysia.

Katanya, warga tentera di Kem Lok Kawi bakal menikmati kemudahan penginapan RKAT yang lebih baik dan selesa apabila kerja-kerja pembinaan rumah baru mula dilaksanakan tidak lama lagi. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply