Home Pertahanan dan Keselamatan UPNM dilantik Pusat Penilaian APEL

UPNM dilantik Pusat Penilaian APEL

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 26 Feb – Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dilantik sebagai sebuah Pusat Penilaian Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu atau Accreditation of Prior Experiential Learning (APEL) yang baharu di Malaysia.

UPNM dalam hantaran di media sosialnya berkata, Agensi Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Agency) telah memperakukan UPNM sebagai sebuah Pusat Penilaian APEL.

“Majlis Penyerahan Sijil Pusat Penilaian APEL UPNM telah diadakan di Bilik Mesyuarat Senat UPNM dan disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Profesor Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran kepada Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah, semalam,” katanya.

Katanya, MQA bertanggungjawab untuk memantau dan menyelia amalan jaminan kualiti serta akreditasi pendidikan tinggi negara dengan memperkenalkan APEL.

Melalui platform ini, APEL membuka peluang yang seluasnya kepada mereka yang mempunyai pengalaman kerja tetapi kurang kelayakan atau tiada kelayakan akademik untuk menyambung pengajian di Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Sementara itu, Hasagaya berkata, melalui Pusat Penilaian APEL, lebih 100,000 warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan disediakan laluan berasaskan pengalaman bagi membolehkan mereka meningkatkan tahap akademik.

Tambahnya, akses terhadap pengajian tinggi seharusnya menjadi lebih mudah dan menarik, sekaligus dapat menyemarakkan pembangunan masyarakat berilmu ke arah mencapai status negara berpendapatan tinggi. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply