Home Politik Isa Samad keluar UMNO, tanding calon Bebas PRK PD

Isa Samad keluar UMNO, tanding calon Bebas PRK PD

by Nurulhuda

SEREMBAN, 27 Sept – Bekas menteri besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad malam ini mengesahkan beliau akan bertanding sebagai calon Bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.

Bekas naib presiden Umno dan pengerusi Felda itu berkata beliau membuat keputusan itu selepas membuat pelbagai pertimbangan termasuk Umno tidak meletakkan calonnya di kawasan berkenaan.

“Saya terpanggil bertanding kerana kerusi itu telah dikosongkan, lagipun saya adalah anak jati Port Dickson,” katanya lagi.

Bekas Ketua Bahagian Umno Telok Kemang (kini Port Dickson) itu berkata beliau percaya mempunyai peluang yang baik untuk menang memandangkan telah lama berkhidmat di kawasan berkenaan selain telah dikenali pengundi setempat.

Mohd Isa berkata dengan pencalonannya itu pada PRK Parlimen Port Dickson bermakna beliau juga telah berundur daripada Umno.

Mohd Isa merupakan anggota dewan undangan negeri (Adun) Linggi selama enam penggal dan Adun Bagan Pinang selama satu penggal yang kedua-duanya terletak dalam kawasan Parlimen Port Dickson.

Mohd Isa yang menyandang jawatan menteri besar selama 22 tahun juga pernah dipilih sebagai Anggota Parlimen Jempol.

PRK Parlimen Port Dickson setakat ini menarik minat beberapa pihak lain selain Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, dua parti politik iaitu PAS dan Parti Rakyat Malaysia selain calon Bebas yang juga personaliti media sosial Stevie Chan Keng Leong untuk mengambil bahagian.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan oleh penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, pada 12 September lepas untuk membolehkan Anwar yang baru-baru ini menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR, untuk bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lepas, Danyal Balagopal memenangi kerusi itu dengan majoriti selesa 17,710 undi mengalahkan calon Barisan Nasional Datuk VS Mogan dan Mahfuz Roslan daripada PAS. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply