Home Semasa UPNM perkenalkan empat kursus baharu tahun ini

UPNM perkenalkan empat kursus baharu tahun ini

by Air Times News Network

SEREMBAN, 27 Sept – Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) memperkenalkan empat kursus baharu tahun ini sebagai usaha melahirkan tenaga kerja bersesuaian kehendak industri seiring dengan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

Timbalan Naib Canselor (Akdemik dan Antarabangsa) UPNM Prof Emeritus Datuk Dr Tengku Mohd Tengku Sembok berkata kursus baharu yang diperkenalkan ialah Sains Komputer, Penyelidikan Operasi Dengan Sains Data, Pertahanan dan Keselamatan Islam serta Penerbangan.

“Setiap bidang baharu yang diperkenalkan mempunyai kelebihan tersendiri sebagai contoh bidang Sains Komputer menawarkan pengkhususan seperti Digital Forensik dan juga big data (data raya) yang mempunyai kadar kebolehpasaran tinggi terutama untuk peluang-peluang pekerjaan pada masa akan datang.

“Jadi kita sebagai pihak pengajian tinggi menawarkan program-program baharu seperti ini untuk membolehkan anak-anak muda kita bersaing dalam merebut tempat dalam bidang pekerjaan akan datang,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Program Jelajah Unit Pengambilan Pelajar (UPU) Semenanjung  2018 Zon Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Beliau berkata setakat ini seramai 58 orang pelajar telah mendaftarkan diri untuk mengikuti keempat-empat kursus berkenaan.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kemasukan Pelajar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Rahaidah Abdul Rahim berkata program jelajah UPU mendapat sambutan yang mengalakkan daripada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi. – BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply