Abdul Azeez tiba dengan berpakaian baju lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuan Malaysia (SPRM) berwarna jingga dan tangan bergari kelihatan sedih ketika sebahagian penyokongnya melaungkan sokongan terhadapnya.

Turut ditahan dan berada di mahkamah sama ialah abangnya, Abdul Latiff Abdul Rahim serta seorang lagi suspek dipercayai sepupu mereka.

Abdul Azeez, 52, yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada pukul 11.15 pagi semalam selepas hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan kes menerima rasuah.

Abangnya, Abdul Latif yang juga pengurus besar sebuah syarikat ditahan di Sungai Buloh, 15 minit selepas itu.

Sumber memberitahu, kedua-duanya difahamkan ditahan bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan penerimaan rasuah daripada sebuah syarikat kontraktor bagi satu projek.

Siasatan SPRM ketika ini dibuat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA).