AMPANG, 18 Sept – Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan meninggalkan negara ini secara haram, Mei lalu.
Jamal, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Muhamad Firdaus Sadina Ali.
Mengikut pertuduhan, Jamal yang didakwa tanpa sebab yang munasabah meninggalkan Malaysia tanpa melalui laluan yang dibenarkan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Hospital KPJ Ampang Puteri di sini pada 25 Mei lalu.
Dakwaan kes dikemukakan mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen (A150) pindaan 2002 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 57 akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 September ini sebagai sebutan semula kes.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Goh Ai Rene manakala Jamal diwakili peguam Datuk Mohd Imran Tamrin.
Pada 25 Mei lalu, Jamal menghilangkan diri selepas didakwa di Hospital KPJ Ampang Puteri atas beberapa pertuduhan memecahkan botol arak menggunakan penukul besi di hadapan pintu pagar keluar Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di Shah Alam, tahun lalu.
Kehilangan Jamal disedari Penolong Pendaftar Mahkamah Shah Alam yang menguruskan proses ikat jamin beliau kira-kira 5.30 petang.
Bagaimanapun, Jamal ditahan oleh Polis Negara Republik Indonesia (POLRI) jam 6.15 petang (waktu tempatan) pada 2 Julai lalu di Tebet, Jakarta Selatan selepas menjadi buruan lebih sebulan.