Home Semasa Bakal hadapi 20 pertuduhan, Rosmah didakwa beli ubat hormon RM1 Juta?

Bakal hadapi 20 pertuduhan, Rosmah didakwa beli ubat hormon RM1 Juta?

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 18 Sept – Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dijangka berdepan tuduhan pengubahan wang haram dalam tempoh terdekat selepas siasatan terhadapnya yang bermula dua tahun tahun lalu, dibuka semula.

Difahamkan, pasukan penyiasat sudah melengkapkan siasatan mereka terhadap isteri kepada Datuk Seri Najib Razak itu, baru-baru ini.

Malah, pasukan penyiasat membuka semula fail membabitkan Rosmah sejak tiga bulan lalu sejurus kekalahan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan siasatan khusus itu menjurus kepada dakwaan sumber dana mencurigakan mengaitkan suaminya yang sebelum ini menemui jalan buntu.

Rosmah pernah disoal siasat lebih tiga jam di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pada Jun lalu.

Difahamkan, soal siasat itu berkaitan siasatan terhadap bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), SRC International Sdn Bhd.

Najib sebelum ini mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan pecah amanah jenayah dan satu tuduhan mengikut Akta SPRM 2009 membabitkan wang berjumlah RM42 juta.

Sumber memberitahu Najib dijangka berdepan lebih banyak pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram hujung bulan ini.

Rosmah, 66, yang juga bekas Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI) sejak 2009 sehingga suaminya disingkirkan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei lalu dijangka berdepan lebih 20 pertuduhan jenayah, kebanyakan membabitkan pengubahan wang haram.

Difahamkan, satu daripada pertuduhan itu dijangka menarik perhatian orang ramai.

Pertuduhan itu membabitkan pembelian produk hormon antipenuaan bernilai lebih RM1 juta dari Amerika Syarikat (AS).

Difahamkan, kehadirannya di ibu pejabat SPRM baru-baru ini disebabkan penyiasat percaya dana daripada SRC digunakan untuk membeli produk berkenaan.

Produk berkenaan dikatakan mampu meningkatkan kadar hormon lebih 600 peratus jika diambil secara berterusan.

Bukan itu saja, mereka yang pernah menggunakan produk itu mendakwa ia menambah baik tenaga dalaman, tidur yang lebih baik, mengurangkan berat badan, menguatkan otot dan memperbaiki sel kulit.

Menurut sumber, cek bayaran bernilai lebih RM1 juta dibuat kepada seorang doktor bergelar Datuk pada Februari 2015 bagi pembelian dua set ubat bernilai RM500,000 setiap satu.

Malah, cek yang diserahkan kepada doktor terbabit turut tertera nombor akaun sama dengan akaun bank AmIslamic milik Najib yang sudah ditutup sebelum ini.

Akaun terbabit dipercayai ditutup beberapa minggu selepas bayaran dibuat.

Ketika disoal siasat, doktor terbabit memaklumkan cek terbabit adalah untuk pembelian dua set ubat.

Produk lain yang dibeli dipercayai ialah 100 peratus makanan berasaskan tumbuhan bagi merangsang badan manusia untuk mengekalkan keremajaan dan daya hidup.

Difahamkan terdapat sekeping cek bernilai RM100,000 yang dibayar kepada sebuah syarikat pada Februari 2015 bagi kerja pembinaan sebuah rumah di Taman Duta.

Rumah berkenaan adalah kediaman peribadi Najib dan isterinya. Difahamkan, pembayaran itu dibuat selepas selesai pembinaan pos pengawal keselamatan dan lain-lain lagi.

Difahamkan, doktor yang pernah menjadi bekas Naib Presiden sebuah pertubuhan dalam bidangnya, meletak jawatan bagi mengelak pertubuhan itu diheret ke dalam kancah kontroversi.

Related Articles

Leave a Reply