Home Politik Veteran tentera kesal Danyal tinggalkan PD – Arshad Raji

Veteran tentera kesal Danyal tinggalkan PD – Arshad Raji

by Nurulhuda

PETALING JAYA, 13 Sept – Persatuan Patriot Kebangsaan (PATRIOT)  meluahkan rasa kecewa dengan tindakan Datuk Danyal Balagopal Abdullah yang mengosongkan kerusi Parlimen Port Dickson demi memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK).

Presiden persatuan itu, Mohamed Arshad Raji berkata veteran tentera pada 9 Mei yang lalu menyokong dan mengalu-alukan kemenangan Danyal dengan harapan tanggungjawab sebagai pengganti penyandang terdahulu diteruskan. 

“Kami faham keputusan untuk mengosongkan mana-mana kerusi ialah hal dalaman parti,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

“(Tetapi) pucuk pimpinan PKR perlu memahami kehadiran veteran tentera di Parlimen disokong ribuan veteran dan dianggap wakil mereka, serta suara yang mereka boleh harapkan dalam perkara menjejaskan veteran.”

Danyal yang merupakan bekas pegawai kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), memenangi kerusi Parlimen Port Dickson dengan 36,225 undi pada 9 Mei lalu, menewaskan VS Mogan daripada Barisan Nasional (18,515 undi) dan calon PAS, Mahfuz Roslan (6,594 undi).

Arshad berkata, jika benar Danyal akan meletak jawatan untuk memberi laluan kepada Anwar, Patriot menganggap PKR tidak mementingkan veteran dan petanda parti itu tidak menghargai kehadiran pesara tentera sebagai wakil rakyat.

“Patriot berpendapat Danyal perlu kekal sebagai ahli Parlimen untuk menyuarakan isu berkaitan tentera dan kebajikan veteran yang sering diabaikan.”

Katanya, rakyat merasa letih selepas pilihan raya umum 9 Mei lalu yang disusuli 3 pilihan raya kecil.

“Jika satu lagi pilihan raya kecil perlu diadakan, Patriot menggesa kepimpinan PKR membenarkan kerusi Port Dickson kekal dengan penyandangnya dan Anwar bertanding di kerusi lain.”

Danyal semalam umum meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Port Dickson untuk memberi laluan Anwar bertanding bagi meneruskan agenda reformasi.

Related Articles

Leave a Reply