Sehubungan itu kata Anwar, beliau secara berterusan akan memberi pandangan kepada kerajaan PH Kedah yang diterajui oleh Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu setelah dilantik menjadi Perdana Menteri kelapan kelak.

“Saya baharu selesai bincang dengan Mukhriz supaya PKR ada hubungan yang baik, mantap kerana kita mahu Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri juga kuat.

“Saya ulangi, saya bebas beri pandangan bahawa mahu kerajaan Kedah ini stabil dan kuat serta ada perubahan yang beri faedah kepada rakyat. Kita mahu beri sokongan yang bulat dan padu kepada Datuk Seri Mukhriz selaku Menteri Besar Kedah bersama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang lain.

“Perkara ini harus berterusan dan tidak terlalu terikat dengan politik dan perbalahan. Saya akan terus memberi pandangan untuk menguatkan kerajaan PH di Kedah,” katanya dalam majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Cabang PKR Kedah dan Perlis, di sini hari ini.

Terdahulu Anwar turut mengadakan pertemuan dengan Mukhriz di sini.

Sebelum ini terdapat desas desus mengatakan akan berlaku peralihan dalam kepemimpinan kerajaan negeri termasuk jawatan Menteri Besar setelah Anwar diangkat menjadi Perdana Menteri.

Mengulas tentang kerusi Parlimen yang berpotensi untuk ditandingi, kata Anwar, beliau akan membuat keputusan dalam masa terdekat.

“Saya pertimbangkan bebe­rapa cadangan dan akan muk­tamad­kan perkara itu dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau sebelum ini memberi bayangan akan membuat penampilan semula di Parlimen, Oktober ini.

Sementara itu, Anwar memberitahu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad seharusnya diberikan ruang menentukan apa yang terbaik berhubung isu pelantikan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor sebagai fasilitator keamanan di selatan Thailand.

Beliau bagaimanapun me­ngakui, apa yang terbaik itu belum tentu dapat memuaskan hati pelbagai pihak terutama yang masih tidak dapat melupakan apa yang dilakukan Abdul Rahim ketika memegang jawatan Ketua Polis Negara sebelum ini.