Home PolitikPakatan Harapan Janji selesai masalah infrastruktur pangsapuri kos rendah – Halimey

Janji selesai masalah infrastruktur pangsapuri kos rendah – Halimey

by Nurulhuda

Petaling Jaya, 18 Ogos – Calon Pakatan Harapan  bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, Halimey Abu Bakar berjanji akan berusaha menyelesaikan masalah infrastruktur pangsapuri kos rendah di kawasan itu, sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat pada 8 Sept nanti.

Bekas Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu berkata ini kerana kebanyakan penduduk di kawasan DUN itu terdiri daripada penghuni pangsapuri kos rendah.

“Kawasan DUN Seri Setia adalah kawasan yang mempunyai banyak pangsapuri kos rendah dan itu yang kita akan dahulukan.

“Antara perkara yang akan dilaksanakan ialah membaik pulih kerosakan infrastruktur membabitkan PPR (Projek Perumahan Rakyat) Lembah Subang dan Desa Mentari,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan borang pencalonan di Dewan Sivik MBPJ di Petaling Jaya hari ini.

PRK DUN Seri Setia diadakan berikutan kematian penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin pada 2 Ogos lepas dan ia merupakan PRK kedua selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei lepas.

PRK itu diadakan serentak dengan PRK DUN Balakong.

​​​​​​​Selain itu, Halimey, yang merupakan calon daripada PKR, berkata pihaknya juga akan memberi tumpuan dalam menyelesaikan masalah kemiskinan bandar yang dihadapi penduduk di kawasan berkenaan.

“Sepanjang berkhidmat sebagai ahli majlis bermula pada 2008, isu ini masih belum dapat diselesaikan sepenuhnya.

“Untuk itu saya akan gunakan pengalaman saya sebagai ahli majlis dan kelebihan sebagai calon tempatan untuk menyelesaikan masalah-masalah yang membelenggu penduduk,” katanya.

Pada PRU14, Shaharuddin daripada PKR mengalahkan tiga pencabarnya Datuk Yusoff HM Hanif daripada BN, Mohd Ghazali Daud (PAS) dan calon Bebas Dr S. Vignes dengan majoriti 19,372 undi.

Related Articles

Leave a Reply