Home Semasa Kes siasatan Musa Aman diserah kepada Peguam Negara

Kes siasatan Musa Aman diserah kepada Peguam Negara

by Nurulhuda

KOTA KINABALU, 1 Ogos – Kertas siasatan berhubung kes laporan polis membabitkan bekas ketua menteri, Tan Sri Musa Aman hampir siap dan sudah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din bagaimanapun berkata, terdapat sedikit tambahan percakapan perlu direkodkan untuk melengkapkan kertas siasatan itu.

“Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun telah mengeluarkan beberapa kenyataan berhubung perkara itu dan setakat ini sahaja maklumat yang kita ada pada masa ini,” katanya selepas Majlis Serah Tugas Jawatan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu di sini, hari ini.

Pada 14 Mei lepas, Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin membuat laporan polis terhadap Musa dipercayai berkaitan ugutan jenayah selepas upacara angkat sumpah jawatan ketua menteri.

Sebaik laporan polis dibuat, percakapan Juhar turut diambil dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Musa mengangkat sumpah sebagai ketua menteri di depan Juhar pada 10 Mei lalu, selepas memperoleh majoriti mudah.

Bagaimanapun, Datuk Seri Shafie Apdal yang juga presiden Parti Warisan Sabah dilantik sebagai ketua menteri dan mengangkat sumpah di depan Juhar 2 hari kemudian selepas beberapa Adun BN berpaling tadah.

Mengulas kebakaran yang memusnahkan lebih 300 rumah di perkampungan atas air Semporna semalam, Ramli berkata, siasatan berhubung kejadian itu sedang dilakukan.

“Saya dimaklumkan kebakaran di Semporna dipercayai daripada kebakaran sampah dan tiada unsur jenayah, bagaimanapun Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah sedang menyiasat.”

Terdahulu, bekas penolong pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS)(Kesejahteraan/Organisasi) Bukit Aman, ACP Habibi Majinji dilantik ketua polis daerah Kota Kinabalu menggantikan ACP M Chandra yang dilantik sebagai ketua Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi (START) Kontinjen Sabah.

Related Articles

Leave a Reply