Home PolitikPakatan Harapan Keluarga nafi ADUN Seri Setia kritikal

Keluarga nafi ADUN Seri Setia kritikal

by Air Times News Network

SHAH ALAM, 31 Jul – Keluarga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin menafikan sekeras-kerasnya laporan media bahawa beliau sedang kritikal dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Setiausaha Kanan kepada Shaharuddin, Zafrullah Aris berkata, ADUN itu sedang berehat setelah menjalani rawatan dan mengikut nasihat doktor, beliau akan bercuti selama sebulan sebelum kembali semula bertugas.

Menurut Zafrullah, Shaharuddin yang juga anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor dan naib presiden PKR telah memaklumkan mengenai perkara itu kepada Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Sehubungan itu, katanya, keluarga Shaharuddin berharap pihak media dan orang ramai dapat menghentikan spekulasi serta khabar angin berkenaan keadaan kesihatan ADUN itu.

“Selain itu, saya juga berharap semua pihak dapat menghormati permintaan keluarga beliau supaya dapat memberi ruang untuk beliau berehat.

“Sama-samalah kita berdoa supaya beliau dipermudahkan dalam segala urusan dan diberikan kesejahteraan untuk dapat bertugas semula,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Media semalam melaporkan Shaharuddin yang juga pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Selangor, dalam keadaan kritikal dan ditempatkan di ICU sebuah hospital di ibu kota.

Laporan itu turut menyatakan bahawa bekas timbalan naib canselor Universiti Selangor itu menghidap kanser usus tahap empat.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lepas, Shaharuddin memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Seri Setia dengan majoriti 19,372 undi selepas menewaskan tiga pencabarnya daripada BN, PAS dan Bebas.

Beliau kemudian dilantik menjadi anggota Exco kerajaan negeri dan mengangkat sumpah jawatan pada 14 Mei lepas.- BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply