Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Laut TLDM Lumut diiktiraf pangkalan rendah karbon

TLDM Lumut diiktiraf pangkalan rendah karbon

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 27 Jul – Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut mendapat pengiktirafan pangkalan rendah karbon daripada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) melalui penganugerahan Provisional Certificate Low Carbon City Framework (LCCF).

Panglimanya, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata, sijil berkenaan merupakan simbolik kepada komitmen yang telah diberikan oleh pangkalan itu dalam usaha mengurangkan karbon atau gas rumah hijau.

Beliau menjelaskan, kejayaan itu juga merupakan sebahagian daripada inisiatif yang digariskan dalam Pelan Green Navy 2018 – 2030.

“Dengan penganugerahan LCCF, TLDM berharap usaha yang lebih giat dan bersepadu akan terus dilaksanakan untuk mengurangkan pembebasan karbon melalui inisiatif lain seperti penjimatan elektrik dan air.

“Inisiatif ini merupakan program yang julung kali diadakan di peringkat TLDM mahupun Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” beliau berkata demikian ketika memberikan ucaptama sempena Sambutan Hari Inovasi TLDM di Auditorium Kementerian Pertahanan di sini, hari ini.

Majlis penyerahan LCCF telah disampaikan oleh Setiausaha Bahagian KeTTHA, Muhd. Fairuz Abdul Halim kepada Komander Pangkalan TLDM Lumut, Laksamana Muda Datuk Alias Baharudin sambil disaksikan oleh Ahmad Kamarulzaman.

Related Articles

Leave a Reply