SUBANG, 20 Jul – Eksesais Cope Taufan 2018 (CT18) telah melabuhkan tirainya pada petang semalam. Eksesais yang telah bermula pada 14 Julai 18 sehingga 20 Julai 2018 ini telah berjaya mencapai objektif penganjurannya dan secara tidak langsung menguji kemampuan Tentera Udara Diraja Malaysia dan United State Airforce (USAF) melibatkan operasi hantaran udara serta atur gerak pasukan.
CTI8 adalah latihan udara gabungan dua hala diantara RMAF dan USAF yang diadakan setiap 2 tahun sekali. Pada tahun ini, CT18 dilaksanakan secara Field Training Exercise (FTX) yang memberi tumpuan kepada Combined Air Mobility and Helos Ops. Berbeza dengan edisi sebelum ini dimana pada tahun ini tiada penglibatan pesawat pejuang kerana untuk memfokuskan kepada aspek operasi hantaran udara.
Leftenan Kolonel Syed Faisal bin Syed Syed Kadir selaku Pengarah Eksesais telah memainkan peranan penting dalam menjayakan CT18 ini dari segi persiapan dan perancangan untuk memastikan CT18 berjalan dengan lancar. Manakala bagi USAF pula telah diketuai oleh Leftenan Kolonel King Berry.
Tujuan pelaksanaan eksesais ini adalah untuk meningkatkan tahap saling kendali (interoperability), perkongsian maklumat dan kerjasama serta hubungan dua hala di antara kedua-dua angkatan udara.
Latihan bersama USAF memberikan banyak kelebihan buat TUDM antaranya dari segi prosedur, peralatan, teknologi dan keberkesanan pengguguran udara. Dari pengkongsian yang diberikan oleh mereka dapat membantu TUDM memperbaiki kelemahan yang ada.
Lokasi eksesais pada tahun ini telah melibatkan beberapa pangkalan udara TUDM (Subang dan Kuantan) serta kawasan zon penerjunan bagi aktiviti Para Jump, Military Free Fall (MFF), Mass Drop dan Air Drop di Drop Zone Penor, Drop Zone Lepar serta Drop Zone Seberang Perak.
Seramai 225 pegawai serta anggota TUDM dan USAF telah terlibat secara langsung bagi menjayakan eksesais ini. Antara aset-aset yang terlibat bagi CT18 adalah 9 daripada TUDM dan 2 daripada USAF.
Penglibatan TUDM pula adalah terdiri daripada 3 buah pesawat C130H dari No 14 dan 20 Skn, 3 buah pesawat CN235 dari No 1 Skn serta 3 buah helikopter EC 725 dari No 10 Skn. Manakala bagi USAF pula adalah 2 buah pesawat C130J dari 374
AW/36 AS.
Selain daripada itu, eksesais CT18 juga turut melibatkan seramai 330 Paratroopers dari 10 Brgd Para dan 17 RAMD Para yang melakukan penerjunan ketika latihan Mass Drop yang diadakan pada 18 Julai 2018 di Drop Zone Seberang Perak.
Pada masa sama, pasukan Tentera Darat ini sedang melaksanakan Eksesais Gerak Pantas yang bermula pada 18 hingga 21 Julai 2018.
Eksesais pada kali ini juga menyaksikan TUDM dan USAF telah berjaya mencapai 89% sorties penerbangan daripada yang dirancang dan ianya adalah sesuatu pencapaian yang amat baik. CT18 juga turut menguji kecekapan dan kemampuan juruterbang-juruterbang TUDM di dalam mengendalikan pesawat ketika melibatkan penerjunan serta pengguguran dari udara.
Secara keseluruhannya, latihan yang dilaksanakan sepanjang Eksesais Cope Taufan 2018 ini memberikan pendedahan yang baru untuk TUDM dari segi Air Mobility and Helos Ops. Selain itu, secara tidak langsung dapat mempertingkatkan lagi kerjsama dua hala TUDM dan USAF dari segi diplomasi pertahanan.
Majlis penutup yang berlangsung semalam telah disempurnakan bersama oleh Ketua Staf Markas Pemerintahan Operasi Udara, Mejar Jeneral Dato’ Zahani bin Zainal Abidin dan Air National Guard Assistant to The Commander, Pacific Air Force, Major General James O. Eifert.
Turut hadir sama dalam majlis ini adalah Komander Pangkalan Udara Subang, Brig Jen Dato’ Hj Muhammad Mudzamir Ong bin Abdullah , Komander Pangkalan Udara Kuantan, Brig Jen Wan Amin Hafiz bin Wan Mahmud , Pegawai Kanan TUDM dan USAF serta peserta-peserta dari kedua-dua angkatan udara.