Home Semasa Piala Dunia: Brazil bergaya benam Mexico

Piala Dunia: Brazil bergaya benam Mexico

by Air Times News Network

SAMARA, Russia, 3 Jul – Brazil melangkah ke suku akhir Piala Dunia selepas membenam Mexico 2-0 yang menyaksikan Neymar menyerlah menerusi satu jaringan dan satu hantaran gol untuk menyingkirkan pasukan Amerika Tengah itu pada peringkat kalah mati buat kali ketujuh berturut-turut.

Penyerang Paris Saint Germain itu menampan masuk gol pertama pada babak kedua sebelum membuat hantaran yang disudahkan Roberto Firmino pada minit akhir perlawanan untuk menewaskan lawannya itu yang membuka kempen kali ini dengan gah selepas menumbangkan Jerman pada aksi pertama mereka.

Mexico yang sebelum ini memenangi tujuh dari 15 aksi terakhir bertemu Brazil nyata lebih mengancam menerusi serangan balas pantas pada babak pertama, namun beberapa peluang gagal disudahkan bagi memecah kebuntuan.

Babak kedua bersambung, Neymar memulakan gerakan untuk membolehkan mereka mendahului permainan.

Dia memecut ke arah kawasan pertahanan lawan sebelum melakukan hantaran menggunakan tumit kepada Willian dan pemain sayap itu melakukan hantaran ke dalam kotak penalti yang disudahkan dengan tampanan Neymar untuk gol pembukaan perlawanan.

Jaringan itu nyata menyentap semangat Mexico yang beraksi lebih baik pada separuh masa pertama sehingga berjaya membuatkan Brazil bergelut dengan beberapa siri serangan.

Brazil terpaksa menunggu sehingga minit ke-88 untuk mengesahkan kemenangan apabila kali ini giliran Neymar menjadi perancang selepas dia melakukan hantaran lintang yang disudahkan Firmino untuk menjadikan kedudukan 2-0.

Namun, mereka akan kehilangan khidmat pemain tengah bertahan, Casemiro bagi aksi suku akhir selepas menerima kad kuning kedua pada kempen kali ini.

Menanti Brazil adalah sama ada Belgium mahupun Jepun yang akan berentap dalam satu lagi perlawanan pusingan 16 terbaik, pada jam 2 pagi waktu Malaysia. – Reuters

Related Articles

Leave a Reply