Home SemasaGlobal Program senjata Pyongyang dihapus dalam tempoh setahun – AS

Program senjata Pyongyang dihapus dalam tempoh setahun – AS

by Air Times News Network

WASHINGTON, 2 Jul – Penasihat keselamatan kebangsaan Rumah Putih, John Bolton berkata semalam, beliau percaya sebahagian besar program senjata Korea Utara dapat dihapuskan dalam tempoh setahun.

Bagaimanapun, sesetengah pakar mengatakan proses lengkap itu mungkin mengambil masa lebih lama dari yang dijangka.

Bolton memberitahu rancangan ‘Face the Nation’ di saluran CBS, Washington sudah merancang satu program menghapuskan senjata pemusnah Korea Utara terdiri daripada kimia, biologi dan nuklear serta peluru berpandu balistik dalam tempoh setahun, jika ada kerja sama penuh dan pendedahan daripada Pyongyang.

“Jika mereka memiliki keputusan strategik untuk berbuat demikian dan mereka sedia bekerja sama, kami dapat melakukannya dengan segera.

“Secara fizikal, kami berupaya menghapuskan sebahagian besar program senjata mereka dalam tempoh setahun,” katanya.

Beliau berkata, Setiausaha Negara, Mike Pompeo kemungkinan membincangkan cadangan itu dengan Korea Utara tidak lama lagi.

Akhbar The Financial Times melaporkan, Pompeo dijangka mengunjungi Korea Utara minggu ini namun jabatan itu belum mengesahkan sebarang rancangan perjalanan. Sesetengah pakar mempertikai tempoh masa diberi Bolton.

“Adalah mustahil secara fizikal untuk menghapuskan sebahagian besar program senjata Korea Utara dalam tempoh setahun.

“Saya tidak percaya adalah wajar untuk mengesahkan secara penuh penghapusan itu dalam tempoh setahun atau pun melihat bukti keputusan tegas DPRK (Korea Utara) bagi melaksanakan gencatan senjata penuh,” kata pegawai kawalan senjata atasan Jabatan Negara di bawah bekas Presiden Barack Obama, Thomas Countryman. -Reuters

Related Articles

Leave a Reply