Subang, 30 Mei – Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tan Sri Affendi Buang hari ini menjelaskan persoalan dan isu yang dibangkitkan oleh peguam Datuk Abu Backer Sidek, bahawa Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu tidak menyalahgunakan aset ketenteraan dalam perjalanan ke Pangkalan Udara Butterworth untuk majlis rasmi TUDM, 26 Mei lalu.
Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, lawatan itu adalah untuk menghadiri program buka puasa tahunan TUDM serta bertemu pegawai tentera udara dan perjumpaan bersama warga TUDM di Pangkalan Udara Butterworth.
“Saya menjemput Menteri Pertahanan untuk menghadiri acara buka puasa bagi berjumpa dengan pegawai TUDM yang berkhidmat di Pangkalan Udara Butterworth.
“Ia adalah program tahunan angkatan udara dan ini adalah kali pertama beliau bertemu warga TUDM.
“Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan mengadakan program dengan menteri tidak lama lagi,” katanya kepada media
dalam sidang media khas di Kuala Lumpur, hari ini sempena sambutan hari ulangtahun ke- 60 TUDM yang akan berlangsung pada 1 Jun 18.
Selain itu, Affendi menegaskan bahawa pesawat TUDM Airbus A400M juga digunakan bagi memberi manfaat dan melengkapkan jam penerbangan (flying hours) juruterbang TUDM yang membawa pesawat berkenaan.
Katanya, ini kerana setiap juruterbang perlu melengkapkan jumlah jam penerbangan bagi mengekalkan tahap kompetensi mereka.
“Setiap juruterbang perlu mencapai jam penerbangan bagi mengekalkan tahap kecekapan mereka, katanya.
“Oleh itu, perjalanan ini juga telah menyelamatkan kos pengangkutan berbanding menggunakan pesawat komersil dari segi masa dan kos kementerian untuk kedua-dua tujuan,” ujarnya lagi.
Beliau berkata perjalanan itu juga bertujuan memberi pendedahan mengenai keupayaan, prestasi, kreadibiliti dan kemampuan pesawat A400M iaitu pesawat pengangkutan pelbagai guna dalam menjalankan pelbagai operasi ketenteraan disamping mengekalkan tahap kesiagaan ATM.
Terdahulu peguam, Abu Backer Sidek membuat laporan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 28 mei yang mendakwa Mohamad Sabu, menyalahgunakan aset ketenteraan dalam perjalanannya ke Butterworth.