KUALA LUMPUR, 20 Mei – Bekas anggota polis, Sirul Azhar Umar, 45 yang disabitkan bersalah membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006, hari ini, menawarkan diri untuk mendedahkan siapa yang mengarahkan pembunuhan wanita itu jika dia diberikan pengampunan penuh oleh kerajaan baharu Malaysia.
Sirul yang kini dalam tahanan di Brisbane, Australia selepas melarikan diri dari negara ini pada 2015, menegaskan bahawa dia diarahkan oleh ‘individu penting’ untuk membunuh wanita itu.
Kes pembunuhannya adalah aspek paling menggemparkan dalam skandal membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang didakwa terbabit dalam pembelian kapal selam Scorpene buatan Perancis pada tahun 2002.
Portal berita Malaysiakini.com dalam wawancara hari ini menyatakan bahawa Sirul bersedia membantu kerajaan baharu Malaysia dalam kes kapal selam itu.
“Saya bersedia membantu kerajaan baharu bagi memberitahu apa yang sebenarnya berlaku jika kerajaan sekarang menjanjikan pengampunan penuh kepada saya,” kata Sirul yang dipetik dari Malaysiakini.
Sementara itu, agensi berita Reuters pula melaporkan kemungkinan siasatan pembunuhan model Mongolia 12 tahun lalu dibuka mungkin mendatangkan masalah kepada Najib ketika kerajaan baharu meneruskan siasatan rasuah terhadapnya.
Presiden Mongolia baru-baru ini memohon pemimpin baharu Malaysia menegakkan keadilan untuk Altantuya, sementara pegawai polis yang disabitkan membunuh mangsa berkata, dia sedia bekerjasama dengan sebarang siasatan baharu jika diberikan pengampunan penuh.
Dalam kes pembunuhan model Mongolia itu, dua pegawai polis didapati bersalah dan dijatuhi hukuman mati, namum persoalan siapa yang mengarahkan mereka membunuh Altantuya masih tidak berjawab.
Ketika pembunuhan itu, Najib adalah Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan.
Beliau menafikan pernah mengenali Altantuya, namun misteri itu terus menghantui karier politik beliau.