Home Semasa Dera Pembantu Rumah: ‘Datin’ Rozita dipenjara 8 tahun

Dera Pembantu Rumah: ‘Datin’ Rozita dipenjara 8 tahun

by M.Daim

Shah Alam, 29 Mac – Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini telah menjatuhkan hukuman penjara 8 tahun terhadap, Rozita Mohd Ali. Hakim Datuk Tun Abd Majid Tun Hamzah menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh yang berusia 44 tahun dan menggugurkan hukuman bon berkelakuan baik yang dikenakan terhadapnya sebelum ini.

Hukuman berkuatkuasa mulai hari ini dan mahkamah turut menolak permohonan penangguhan perlaksanaan hukuman.

Pada 15 Mac lalu, Mahkamah Sesyen Petaling Petaling Jaya mengenakan bon berkelakuan baik selama lima tahun ke atas Rozita, dan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, permohonan semakan semula hukuman telah dibuat oleh Jabatan Peguam Negara terhadapnya.

Mohamed Haniff Khatri Abdulla, Peguam Bela.

Prosiding kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Iskandar Ahmad manakala responden diwakili peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla.

Menurut Haniff Khatri, pihak pembelaan akan mefailkan rayuan serta-merta kepada pihak Mahkamah Rayuan mengenai kes ini.

Beliau turut menyatakan bahawa banyak pihak yang tidak mengetahui faktor kes bahawa mangsa, Suyanti Sutrinso, telah menarik balik aduan di bawah Keterangan Bersumpah. Penarikan balik aduan tersebut adalah dibuat oleh mangsa dengan niat sukarela dan suci hati.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Iskandar Ahmad memaklumkan bahawa tertuduh tidak menepati kriteria-kriteria khusus untuk menjalani hukuman bon berkelakuan baik.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Iskandar Ahmad.

Menurut beliau, pihak penghakiman mempertimbangkan kesemua faktor dalam hukuman, termasuklah elemen kepentingan awam, seriusnya isu kesalahan ini dan juga mengambil kriteria tertuduh untuk menjalani hukuman bon berkelakuan baik tidak dipenuhi. Selain daripada itu, menurut beliau, wang jaminan terhadap tertuduh telah dikembalikan kepada pihak penjamin.

Sebelum prosiding bermula, Rozita Mohd Ali mengesahkan bahawa beliau tidak mempunyai gelaran Datin seperti yang dilaporkan oleh media sebelum ini. Rozita hadir bersama peguamnya pada pagi ini di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Pada 15 Mac lalu, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya memutuskan hukuman bon berkelakuan baik selama 5 tahun serta membayar jaminan RM 20,000 dengan seorang penjamin selepas menukar pengakuan bersalah.  Keputusan tersebut telah menarik perhatian segenap pihak.

Media tempatan pada 17 Mac lalu melaporkan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi telah mengarahkan rayuan semakan kes oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya.

Pada 21 Mac lalu, Rozita gagal hadir ke mahkamah dan pihak pendakwaan diberi tempoh seminggu untuk mencarinya.

Mengikut pertuduhan pindaan, dia didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap Suyanti Sutrinso, 19, dengan menggunakan sebilah pisau berhulu biru, sebatang mop, sekaki payung, sebatang rod besi, sebatang alat mainan kucing dan penyangkut baju yang digunakan sebagai senjata untuk menyerang.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah, Jalan PJU 7/30, Mutiara Damansara, di sini antara jam 7 pagi dan 12 tengah hari, 21 Jun 2016 dan didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda.

 

Related Articles

Leave a Reply