Home Semasa Aguero mahu tinggalkan City

Aguero mahu tinggalkan City

by Air Times News Network

LONDON, 27 Mac – Bintang Manchester City, Sergio Aguero memberitahu bahawa dia akan meninggalkan kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu pada 2020 untuk kembali ke kelab zaman kanak-kanaknya iaitu Independiente.

Pemain antarabangsa Argentina itu memulakan kerjayanya bersama Independiente pada 1997 sebelum berpindah ke Atletico Madrid sembilan tahun kemudian.

Aguero, 29, seterusnya me­ngembangkan kariernya apabila menyertai City dengan menandatangani kontrak hingga 2020.

Sepanjang bersama skuad The Citizen, dia telah membantu kelab itu meraih dua gelaran Liga Perdana sejak 2011, dan kini hanya menunggu masa untuk memenangi trofi liga buat kali ketiga di bawah bimbingan Pep Guardiola musim ini.

Aguero, yang terpaksa diketepikan oleh skuad Argentina sepanjang tempoh rehat an­tarabangsa ekoran ke­­cederaan lutut yang dialaminya, kini mengulangi keinginannya untuk kembali ke Stadium Libertadores de America apabila kontraknya tamat nanti.

“Kontrak saya dengan Manchester City akan tamat pada 2020, maka saya akan kembali ke rumah saya di Independiente,” kata Aguero kepada Fox Sports.

Aguero begitu produktif di Stadium Etihad dan musim ini telah menjaringkan 21 gol untuk membantu City selesa dengan berke­lebihan 16 mata di puncak Liga Perdana.

Secara keseluruhan, Aguero telah menja­ringkan 30 gol dalam semua pertan­dingan untuk City, yang sudah memenangi Piala Liga ketika mereka bersiap sedia untuk menghadapi Liver­pool dalam suku akhir Liga Juara-juara. – AGENSI

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!