Kuala Lumpur, 5 Mac-Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan undang-undang mana yang dilanggar oleh individu terkaya di Malaysia, Tan Sri Robert Kuok kerana dikatakan menaja DAP. Tanpa menafikan dakwaan berkenaan, bekas perdana menteri itu berkata sesiapa sahaja boleh membantu mana-mana parti politik dari segi kewangan.
“Ternampak marah sungguh Umno kepada Robert Kuok kerana kononnya dia menghulur bantuan wang kepada DAP.
“Undang-undang manakah yang dilanggar oleh Robert Kuok? Setakat yang saya tahu siapa sahaja boleh bantu mana-mana parti politik,” kata pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu dalam tulisan yang disiarkan di blog beliau hari ini.
Menurut Mahathir, Umno suatu ketika dahulu tidak pernah mengutuk individu yang membantu mana-mana parti politik, namun keadaan itu kini sudah berubah.
“Tetapi sekarang bantu Umno dan BN boleh. Curi duit untuk pilihan raya pun boleh. Tetapi parti lawan tak boleh terima derma pun,” katanya.
Nama Robert Kuok baru-baru ini menjadi tumpuan selepas didakwa menaja DAP menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 untuk menjatuhkan kerajaan. Dakwaan itu ditimbulkan oleh blogger, Raja Petra Kamaruddin yang turut mendakwa Kuok menaja sebuah portal The Malaysian Insight.
Pendedahan itu menimbulkan kemarahan beberapa pimpinan Umno termasuk Menteri Kebudayaan dan Pelancongan Datuk Seri Nazri Aziz terhadap Kuok.