Home PolitikPAS /PPBM / LAIN Perlis jadi sasaran PAS

Perlis jadi sasaran PAS

by Nurulhuda

Terengganu, 21 Feb – Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang membayangkan matlamat parti itu untuk menang di lima negeri pada pilihan raya umum (PRU ke-14). Selain mengekalkan kemenangan di Kelantan dan merampas kembali Terengganu, Perlis menjadi sasaran terbaru parti itu selain Selangor dan Kedah.

Ia berserta dengan sasaran menang 40 kerusi di peringkat Parlimen dalam matlamat parti itu untuk menjadi penentu kepada pihak yang ingin membentuk kerajaan. “Kita usaha untuk mempertahankan Kelantan, berusaha untuk menang lagi di Terangganu, menang di Kedah, Perlis dan Selangor.

“Ini kita akan usahakan,” katanya ketika berucap sempena majlis pelancaran markas Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong di Marang, Terengganu, yang disiarkan oleh Harakahdaily. Untuk rekod, pada PRU ke-13, PAS yang ketika itu masih bersama Pakatan Rakyat hanya menang satu kerusi DUN di Perlis iaitu Sanglang.

Hadi telah menyuarakan hasrat untuk menang di Selangor ketika majlis pelancaran jentera PAS negeri pada 21 Januari lalu. PAS menang di Kelantan sejak 1990 manakala mentadbir Terengganu dan Kedah (bersama Pakatan Rakyat) selama satu penggal, masing-masing selepas menang pada PRU tahun 1999 dan 2008.

Meneruskan syariah

Dalam ucapan itu, Hadi juga menekankan misi merampas kembali Terengganu untuk meneruskan pelaksanaan Enakmen Jenayah Syariah yang diluluskan ketika pentadbiran PAS pada tahun 2002. “Apa yang kita buat (ketika itu), Umno tak berani nak hapus (dan) masih ada lagi sekarang. Tetapi ia tak boleh berjalan kalau kita tak menang.

“Kita kena menang dan boleh sambung balik (usaha melaksanakannya). Maka perjuangan kita dalam pilihan raya ini sangat besar maknanya,” katanya lagi. Pada PRU yang lalu, BN Terengganu memenangi 17 DUN iaitu kelebihan hanya tiga DUN, manakala PAS menang di 14 DUN dan PKR satu DUN.

Malah BN negeri itu juga mengalami pergolakan dalaman beberapa tahun lalu akibat pertembungan antara Menteri Besar Ahmad Razif Abdul Rahman dan bekas Menteri Besar Datuk seri Ahmad Said, yang menyaksikan DUN hampir dibubarkan.

Related Articles

Leave a Reply