Home Semasa Malaysia tak akan tiru Singapura: Amir Hussin

Malaysia tak akan tiru Singapura: Amir Hussin

by Nurulhuda

SHAH ALAM, 21 Feb – Cukai barangan dan perkhidmatan (GST) negara sebanyak enam peratus dijangka akan terus kekal kerana ia cukup bagi menampung keperluan perbelanjaan. Pensyarah Ekonomi Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Datuk Dr Amir Hussin Baharuddin berkata, GST tidak akan dinaikkan, ia akan kekal pada kadar itu sehingga kerajaan berpuas hati dengan kutipan dan dalam usaha mengkaji kemarahan rakyat.

“Betul Singapura akan naikkan GST daripada tujuh peratus kepada sembilan peratus antara 2021 hingga 2025, pembangkang harus buat tuduhan relevan, takkanlah semua benda kita (Malaysia) nak tiru Singapura. “Kadar kutipan enam peratus sudah cukup untuk kita, buat masa ini. Mungkin republik Singapura naikkan kerana kerajaannya perlukan belanja untuk tambah baik infrastruktur atau mereka mampu untuk bayar,” katanya kepada Sinar Harian.

Amir Hussin berkata demikian bagi menjawab dakwaan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang menyatakan jalan terbaik bagi mengekang kenaikan kadar GST adalah menerusi penghapusannya. “Semua kerajaan perlukan cukai, usahlah tabur kata-kata manis kepada rakyat. Kerajaan tidak ada punca kewangan lain selain daripada kutipan cukai.

“Korporat, individu pun minta cukai rendah tapi mendambakan kemudahan infrastruktur bertaraf dunia seperti MRT, LRT, siapa nak bayar kalau bukan daripada cukai? “Janganlah kelirukan rakyat terutama orang luar bandar. Ini bukan cara bohongi rakyat, cukai perlu dilaksanakan mungkin perjalanan kutipan wajar dibaiki,” tambahnya.

Beliau turut memberi keyakinan mungkin kerajaan boleh mengurangkan kadar kutipan GST daripada enam peratus kepada empat peratus tetapi rakyat akan rugi . “Sekiranya direndahkan pada kadar empat peratus takut hilang banyak hasil, bagaimana kerajaan nak siapkan Lebuhraya Pan Borneo? Mana ada duit dah.

“Kepada pembangkang, saya nasihatkan perkara kecil seperti ini tidak patut dibangkitkan. Isu GST, cukai jualan dan perkhidmatan (SST) tidak patut dijadikan modal raih undi. “Pembangkang tidak membantu, rakyat pula tidak sabar sebab itu isu cukai ini terus jadi perdebatan sedangkan cukai merupakan pendapatan bagi setiap negara di dunia,” jelasnya.

Sebelum ini Guan Eng menyatakan  Pakatan Harapan akan hapuskan GST dalam tempoh 100 hari mereka mengambil alih kuasa pemerintahan dan bakal memulihkan SST.

Related Articles

Leave a Reply