KUALA LUMPUR, 15 Feb – Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyangkal dakwaan pihak tertentu bahawa ramai veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini menyokong pembangkang kerana tidak berpuas hati dengan kerajaan.
Menegaskan bahawa dengan jumlah veteran yang ramai, beliau berkata pasti ada yang tidak puas hati dengan sesuatu perkara dan mereka tidak semestinya menyebelahi pihak pembangkang.
Ini hanya dakwaan (menentang kerajaan), banyak yang sudah kita buat untuk veteran kita dan ia bukan baru sekarang kita buat
”
“Ia tak mengambarkah majoriti sikap veteran kita kerana ada yang cuba mengaburi rakyat dengan apa yang telah kita buat seperti Hospital Veteran dan perumahan,” katanya ketika menjawab soalan berhubung dakwaan veteran ATM kini tidak lagi menyokong kerajaan sebaik bersara daripada perkhidmatan.
Menurut portal Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM, terdapat 275,820 veteran pada masa ini.
Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan logo Perkasa Perwira di Wisma Perwira hari ini, Hishammuddin berkata kerajaan tidak pernah melupakan jasa veteran ATM dan pelbagai bantuan seperti perubatan dan perumahan tidak boleh dibuat sekali gus, sebaliknya dibuat secara berperingkat.
Dalam perkembangan lain, Hishammuddin berkata beliau menyokong usaha untuk mengawal penyebaran berita palsu di media baharu yang boleh memberi kesan emosi yang negatif kepada rakyat.
Beliau berkata jika tiada sekatan dan kawalan masalah berita palsu akan memudahkan pihak luar mengeksploitasi dan memanipulasi pemikiran rakyat.
“Kita mesti ambil berat dan kenal pasti sesuatu berita yang diterima dan tidak terima berita palsu dengan bulat-bulat dan penuh emosi,” katanya.
Dalam pada itu Hishammuddin berkata Kementerian Pertahanan dan ATM sangat-sangat mengalu-alukan cadangan konstruktif yang boleh menambah baik agenda ATM sebagaimana yang dirancang dalam Tranformasi Nasional 50 Pertahanan (TN50D).
“Kalau ada cadangan yang lebih baik beritahu kita dan jangan hanya mengkritik tanpa memberi cadangan lain,” katanya. – Bernama