Home PolitikBarisan Nasional Tiong Lai mampu melakar sejarah

Tiong Lai mampu melakar sejarah

by Nurulhuda

SABAK BERNAM, 15 Feb  – Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai diminta mempertimbangkan hasrat Umno Bahagian Sungai Besar mencadangankan nama beliau sebagai calon BN untuk bertanding di Dun Sekinchan bagi mengembalikan sokongan pengundi Cina khususnya di Selangor. Ketua Umno Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, sebagai Pengerusi MCA Selangor, Tiong Lai diyakini seorang pemimpin yang mampu membantu BN merampas semula negeri ini.

“Jadi, apa salahnya beliau (Tiong Lai) bertanding di Dun di samping terus mengekalkan kerusi Parlimen (Bentong) yang dimenangi beliau sebelum ini. Saya cadangkan, beliau bertanding di Dun Sekinchan,” katanya kepada Sinar Harian ketika diminta mengulas kenyataan Tiong Lai yang menyifatkan pelawaan Jamal untuk bertanding di Dun Sekinchan sebagai mengarut dan tidak logik.

Jamal yang juga Pengerusi BN Parlimen Sungai Besar berkata, Menteri Pengangkutan itu seharusnya menerima tawaran itu untuk kebaikan negeri ini. “Kehadiran Tiong Lai mampu meningkatkan keyakinan ahli MCA bukan saja di Sekinchan, malah di dalam negeri Selangor ini keseluruhannya,” katanya.

Ujar beliau, berdasarkan kaji selidik yang dilakukan, rata-rata pengundi Cina dan juga ahli MCA termasuk kepimpinan parti iti mengalu-alukan Tiong Lai bertanding di Sekinchan. “Maksudnya, kalau Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil datang ke Parlimen Sungai Besar, dua lapisan karpet merah kita bentangkan, begitu juga dengan Tiong Lai, bukan dua, tetapi tiga lapisan karpet merah kita sediakan,” katanya.

Katanya, di Dun Sekinchan sahaja misalnya, terdapat lebih 6,000 pengundi pada PRU13 lalu. “Sedangkan, ketika PRU13, daripada 6,000 lebih pengundi MCA yang mengundi hanya lebih kurang 1,800 sahaja memberi undi kepada BN yang selebihnya mana?. “Sama ada mereka tidak mengundi atau mengundi di sebelah sana…inilah cadangan saya, iaitu mengembalikan semangat ahli-ahli MCA yang ramai di negeri ini untuk sama-sama dengan Barisan Nasional,” katanya.

Beliau menegaskan, cadangan beliau itu bukanlah sesuatu tindakan melulu, sebaliknya melihat senario dan kekuatan pengundi MCA itu sendiri. “Mungkin orang melihat ini tidak masuk akal, tetapi kalau betul-betul diperhalusi dan difikirkan ia sangat munasabah untuk semua,” katanya.

Ditanya, adakah beliau sudah berbincang dengan Tiong Lai mengenai perkara itu, Jamal berkata, beliau akan membawa perkara itu dalam waktu terdekat. “Saya dimaklumkan, minggu depan kami ada perjumpaan pengerusi-pengerusi BN Parlimen bersama dengan semua pengerusi-pengerusi perhubungan BN negeri Selangor.

“Saya akan menyampaikan pandangan ini kerana yakin dan percaya kalau saya beri penerangan yang jelas, tidak mustahil Tiong Lai boleh melakar satu sejarah dalam politik negara kita yang mana presiden MCA bertanding di dua kerusi iaitu di Parlimen Bentong dan Dun Sekinchan,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!