Home PolitikPakatan Harapan Rundingan pengagihan kerusi DUN terpaksa diadakan semula

Rundingan pengagihan kerusi DUN terpaksa diadakan semula

by Air Times News Network

SHAH ALAM, 13 Feb – Pakatan Harapan (PH) Selangor kelmarin mengadakan rundingan semula pengagihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini yang sudah dipersetujui dalam mesyuarat khas minggu lalu.

Mesyuarat khas PH Selangor pada Rabu dan Khamis lalu sudah menyelesaikan pengagihan 36 daripada 56 kerusi DUN di negeri ini untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Selangor, Sallehuddin Amiruddin,

Rundingan semula pengagihan kerusi DUN itu diadakan selepas mendapat bantahan PPBM dan Parti Amanah Negara (PAN)

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Selangor, Sallehuddin Amiruddin

“Saya sahkan ada rundingan semula pada tengah hari semalam. Namun, saya tidak boleh ulas lanjut mengenainya. Apa pun, atas semangat perpaduan, PPBM yakin ia akan diselesaikan dalam suasana baik,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Ditanya tarikh selanjutnya rundingan pengagihan kerusi DUN Selangor, Sallehuddin berkata, ia akan disambung selepas cuti Tahun Baharu Cina.

“Tarikh rundingan belum ditetapkan lagi. Seperti kata Azmin (Pengerusi PH Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali), rundingan kerusi akan berterusan sehingga Parlimen dibubarkan. Jadi, kita tunggu dan lihat,” katanya.

BH Online sebelum ini melaporkan, mesyuarat khas PH Selangor bagi mengagihkan kerusi DUN masih gagal mencapai kata sepakat.

Menurut sumber, berdasarkan keputusan awal, PKR dikatakan akan bertanding 19 kerusi DUN, DAP (18), PPBM (10), dan PAN (sembilan).

PPBM Selangor turut menolak kenyataan Setiausaha PH negeri, Zuraida Kamarudin, yang berkata, mesyuarat khas berkenaan sudah berjaya menyelesaikan pengagihan 36 kerusi DUN di negeri ini.

PPBM turut membidas pendirian PKR dan DAP enggan berunding untuk melepaskan kerusi disandang mereka, namun pada masa sama mahu bertanding di 12 kerusi milik Barisan Nasional (BN) pada PRU-14.

Pada PRU-13, BN menang 12 kerusi iaitu DUN Sungai Burong, Jeram, Kuang, Semenyih, Permatang, Bukit Malawati, Sungai Air Tawar, Sungai Panjang, Hulu Bernam, Batang Kali, Kota Damansara dan Dengkil.

PAN pula konsisten dengan pendirian mahu bertanding kerusi DUN disandang PAS iaitu Taman Templer, Lembah Jaya, Paya Jaras, Chempaka, Meru, Dusun Tua, Tanjung Sepat, Sabak, Gombak Setia, Bangi, Seri Serdang, Selat Klang, Sijangkang, Morib dan Hulu Klang.

ADUN Hulu Klang, Saari Sungib, dan ADUN Morib, Hasnul Baharuddin bagaimanapun keluar PAS untuk menyertai Amanah.

Ketika ini, DAP menyandang 14 kerusi DUN, PKR (13), PAS (13), BN (12) dan Amanah (2) dan Bebas (2). Dua Bebas ialah ADUN Pelabuhan Klang, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan ADUN Teluk Datuk, Loh Chee Heng.

Related Articles

Leave a Reply