JOHOR BAHRU, 1 Mac – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malayasia (APMM) telah mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (Op CARILAMAT) bagi mengesan sebuah bot milik Jabatan Perikanan Negeri Johor yang dilaporkan hilang dalam perjalanan ke Pengkalan Tampoi semalam.
Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima laporan pada pukul 7.51 malam tadi daripada Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 tentang kejadian tersebut.
Menurutnya, bot milik Jabatan Perikanan Negeri Johor PL87 bersama-sama 4 orang kru dilaporkan tidak dapat dihubungi dan gagal dikesan setelah berlepas dari Tanjung Pengelih pada pukul 12.45 tengah hari semalam.
Bot tersebut sepatutnya tiba di Pengkalan Tampoi pada pukul 6.30 petang.
“Susulan laporan yang diterima, MRSC Johor Bahru telah mengaktifkan Op Carilamat pada 8 malam tadi dengan menggerakkan bot Pengawal 46 dan bot Kilat 18 bagi mengesan bot dan mangsa yang terlibat,
“Lokasi pencarian ditumpukan di sekitar perairan Tuas dan Tanjung Piai ekoran maklumat diterima daripada pihak berkuasa Singapura mengenai lokasi terakhir Bot PL87 dikesan di perairan Tuas kira-kira 3 petang semalam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas Nurul Hizam, PPM turut terlibat dalam operasi tersebut dengan menggerakkan 3 buah aset bagi membantu pencarian.
Pihak Maritime Rescue Coordination Centre (MRCC) Putrajaya juga telah berhubung dengan pihak berkuasa Singapura dan Indonesia sekiranya terdapat maklumat lanjut atau pengesanan tentang bot PL87 di perairan negara jiran.
“Op Carilamat pada hari ini turut dibantu oleh kapal KM Ramunia milik Maritim Malaysia bersama Bot PL39 milik Jabatan Perikanan Negeri Johor,” katanya.-airtimes.my