SINGAPURA, 5 FEB – ST Engineering terus memperkukuh kedudukannya dalam sektor penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) global apabila unit perniagaan Aeroangkasa Komersialnya memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Airbus Defence and Space.
Perjanjian strategik yang diumumkan sempena Pameran Udara Singapura (Singapore Airshow) 2026 itu bertujuan melaksanakan program pengubahsuaian kabin bagi pesawat A330 Multi Role Tanker Transport Plus (A330 MRTT+) untuk pelanggan Airbus.
A330 MRTT+ merupakan evolusi terbaharu platform pengisian bahan api dan pengangkut udara yang terbukti dalam pertempuran, dibina berasaskan kerangka pesawat A330neo yang lebih moden dan efisien.
Melalui MoU ini, kedua-dua syarikat menetapkan persefahaman awal merangkumi penyediaan reka bentuk kejuruteraan, pensijilan, serta perkhidmatan pengubahsuaian pesawat bagi program kabin tersebut. Kerjasama ini dilihat menggabungkan kepakaran teknikal ST Engineering dengan dominasi platform ketenteraan Airbus.
Ketua Struktur Aero dan Sistem ST Engineering, Kevin Chow berkata, kerjasama ini adalah kesinambungan daripada hubungan erat yang telah lama terjalin antara kedua-dua entiti gergasi aeroangkasa tersebut.
”Pengubahsuaian kabin A330 MRTT+ ini menandakan pencapaian terbaharu dalam perkongsian lama kami dengan Airbus, yang turut merangkumi penukaran pesawat penumpang ke kargo (P2F) melalui usaha sama kami di Jerman.
”Kami akan membina kejayaan perkongsian kami dalam penukaran kargo dan memanfaatkan keupayaan luas kami dalam penyelesaian dalaman kabin bersepadu untuk menyampaikan produk yang memenuhi spesifikasi tepat pengendali dan keperluan misi, dilaksanakan dengan standard kualiti tertinggi,” katanya dalam satu kenyataan.
ST Engineering bakal memanfaatkan rangkaian fasiliti MRO globalnya untuk menyediakan penyelesaian kitaran hayat bersepadu bagi bahagian dalaman kabin. Ini termasuk aspek reka bentuk dan kejuruteraan, pembangunan produk, serta konfigurasi semula kabin.
Syarikat itu juga mempertaruhkan pengalaman luasnya dalam membangunkan program kejuruteraan pesawat yang disesuaikan (customised), bermula daripada reka bentuk khusus (bespoke) sehinggalah kepada pensijilan dan pengurusan rantaian bekalan.
Keupayaan untuk mengubah suai kabin pesawat tangki strategik seperti MRTT+ memerlukan kepakaran teknikal yang tinggi memandangkan ia perlu memenuhi standard ketenteraan yang ketat di samping mengekalkan keselesaan dan fungsi operasi.
Pengunjung Singapore Airshow 2026 boleh melihat dengan lebih dekat keupayaan pelbagai disiplin ST Engineering merentasi domain udara, darat, laut dan digital di Pavilion G01 bermula 3 hingga 8 Februari ini. -airtimes.my


