SEMPORNA, 6 Nov – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya menggagalkan cubaan sebuah bot pam menyeludup minyak masak paket bersubsidi di kedudukan 0.2 Batu Nautika Barat Pulau Sebangkat, malam tadi.
Pengarah APMM Semporna, Komander Maritim Amir Shubli berkata, hasil rondaan dilakukan telah mengesan sebuah bot pam berwarna biru dan hijau tanpa nombor pendaftaran dalam keadaan mencurigakan.
“Setelah mengesan kehadiran penguatkuasa, tekong bot bertindak terjun ke laut dan berenang melarikan diri ke daratan berhampiran,
“Pemeriksaan dilakukan ke atas bot mendapati sebanyak 340 kilogram minyak masak paket bersubsidi dipercayai cuba diseludup ke negara jiran,” katanya.
Jelas beliau, nilai keseluruhan rampasan termasuk bot dan 3 buah enjin pam bernilai sekitar RM6,000. Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana cubaan menyeludup keluar minyak masak tanpa cukai.
“Siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengesan pemilik bot tersebut dan dalang disebalik kegiatan ini,” ujarnya.
Terdahulu, APMM telah berjaya menggagalkan beberapa siri jenayah di lautan termasuk 1 kes bom ikan, 2 kes penyeludupan minyak masak serta 1 kes penyeludupan minyak petrol yang bernilai dianggarkan RM28,000 nilai keseluruhan. – airtimes.my