SEMPORNA, 6 Nov – Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan barang kawalan ke negara jiran dengan menggunakan bot di Laut Bohey Dulang, kelmarin.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna, Deputi Superintenden Polis (DSP) Mohamad Ismail berkata, semasa pasukanya sedang menjalankan rondaan telah terserempak dengan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan.
“Apabila kehadiran polis disedari, 2 lelaki dewasa yang berada di atas bot telah bertindak terjun dan melarikan diri ke kawasan cetek Pulau Bohey Dulang Semporna,
“Pemeriksaan ke atas bot menjumpai beberapa jerikin pelbagai saiz berisi minyak petrol dan satu unit tong gas,” katanya dalam hantaran di media sosial PPM W4 Sabah, hari ini.
Menurut Mohamad, minyak petrol dan tong gas berserta pam bot tersebut ditahan kerana disyaki hendak diseludup ke Filipina.
“Rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Semporna untuk di serahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Semporna,
“Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM4,280 dan kes disiasat dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” ujarnya. – airtimes.my