Home Pertahanan dan Keselamatan ATB 2 patahkan cubaan seludup 29 tong minyak di perairan Pulau Bohayen

ATB 2 patahkan cubaan seludup 29 tong minyak di perairan Pulau Bohayen

by Air Times News Network

SEMPORNA, 23 Nov – Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) berjaya mematahkan cubaan penyeludupan 29 tong minyak di perairan Pulau Bohayen, Sabah, semalam.

Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, Viper 02 bersama Tim Quick Reaction Force (QRF) telah Berjaya memintas dan menahan bot yang berada dalam keadaan mencurigakan yang bergerak laju dari arah bawat Pulau Bohayen menuju ke arah luar sempadan perairan Malaysia dan Filipina pada jam 6.15 petang.

“Hasil pemeriksaan terdapat 2 orang awak-awak lelaki, seorang warganegara Filipina berusia 50 tahun dan seorang warganegara Malaysia berusia 24 tahun serta tidak membawa sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,

“Sebanyak 29 tong berkapasiti 35 liter yang berisi minyak petrol berjumlah 1,015 liter berada di dalam bot berkenaan,” katanya.

Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM 17,725.00.

“Bot tersebut ditahan atas kesalahan melakukan aktiviti penyeludupan minyak yang melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961 dan juga awak-awak bot tiada dokumen pengenalan diri yang sah,

“Bot laju tersebut telah ditunda ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna dan awak-awak bot kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna bagi membuat laporan polis,

“Kesemua mereka seterusnya dibawa ke Hospital Semporna bagi melaksanakan ujian saringan COVID-19 sebelum diserahkan semula kepada pihak IPD Semporna bagi siasatan lanjut,” ujarnya.

Sementara itu, Abdul Karim berkata operasi di bawah naungan ATB 2 sentiasa dilaksanakan bagi memastikan keselamatan persempadanan negara selamat melalui pelaksanaan Op Pasir dan Op Benteng Bersama di Perairan Pantai Timur Sabah. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply