KOLUMNIS – Sumbangan 14 buah dron tanpa pemandu dari kerajaan Jepun kepada Malaysia yang diterima baru-baru ini menambah lagi aset-aset baharu bagi menyokong keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Di bawah inisiatif Bantuan Keselamatan Rasmi (OSA), sumbangan bernilai RM12.63 juta termasuk tujuh bot penyelamat bukan sekadar satu pemberian.
Lebih daripada itu, ia menjadi asas penting kepada hubungan strategik yang lebih luas dalam bidang ekonomi, pertahanan dan teknologi.
OSA merupakan inisiatif kerajaan Jepun bagi membantu dalam aspek keselamatan empat negara sahabat di rantau ini bagi memperkasakan pengawasan maritim di wilayah masing-masing.
Malaysia merupakan salah satu negara penerima pertama OSA yang ditubuhkan pada 2023 meliputi peralatan pengawasan untuk keselamatan maritim disediakan.
Bantuan yang diberikan ini melibatkan kelengkapan bukan persenjataan, tetapi digunakan untuk membantu pemantauan keselamatan.
Kerjasama antara Malaysia dan Jepun dalam soal keselamatan maritim bukan baharu, malah merupakan salah satu aspek penting dalam hubungan dua hala kedua-dua negara.
Ini terutamanya demi kepentingan geopolitik kawasan Asia Tenggara dan Laut China Selatan.
Malaysia melalui Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) misalnya telah menjalinkan pelbagai bentuk kerjasama dengan Jepun dalam bidang ini.
Mungkin ramai dalam kalangan kita tidak mengetahui bahawa kerajaan Jepun telah membantu dalam penubuhan Maritim Malaysia (APMM) dan juga bekerjasama dalam membina kapasiti pengawasan dan penyelamatan maritim.
Sejak tahun 2004, Jepun telah menghantar pakar dan kerjasama teknikal bagi menyokong APMM dalam usaha mempertingkatkan keselamatan maritim di perairan Malaysia.

Anggota Pasukan Kerjasama Mudah Alih (MCT) Jepun bersama anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM). (FOTO: HIASAN)
Sebagai negara pengguna utama Selat Melaka, Jepun selalu mengulangi komitmennya untuk memperkukuh keselamatan dan perlindungan di Selat tersebut serta meningkatkan kerjasama antara kedua-dua negara.
Sepertimana diketahui, Selat Melaka penting kerana lebih 80 peratus import minyak Jepun dan kira-kira satu pertiga daripada minyak mentah dunia melalui perairan ini dan Singapura.
Selat Melaka merupakan salah satu laluan pelayaran paling penting di dunia, dengan anggaran kira-kira 200 hingga 260 kapal melalui setiap hari, membawa kira-kira satu pertiga daripada barangan dagangan laut dunia.
Jumlah jenayah maritim seperti rompakan bersenjata di Selat Melaka juga antara isu yang diberi perhatian.
Oleh itu, keselamatan dan perlindungan di zelat ini merupakan keutamaan tinggi bukan sahaja kepada Malaysia tetapi juga kepada pengguna antarabangsa termasuk Jepun.
Justeru, kerajaan Jepun telah memberikan sokongan kepada APMM sejak penubuhannya. Jepun telah bekerjasama untuk memperkukuh sistem operasi dan meningkatkan keupayaan pelaksanaan APMM.
Sumbangan terbesar yang diterima ialah penyerahan 2 buah kapal peronda pesisir pantai (OPV) bekas milik Pasukan Pengawal Pantai Jepun kepada APMM pada 2017.
Kapal KM Pekan dan KM Arau yang berusia 25 tahun itu sudah melalui pengubahsuaian termasuk penukaran cat, penggantian radar dan peralatan di anjung untuk menepati spesifikasi Malaysia.
Semua kos perbelanjaan baik pulih ini ditanggung kerajaan Jepun dengan anggaran kos bagi kedua-dua OPV berjumlah RM28 juta. Kapal KM Arau dan KM Pekan sepanjang 90 meter itu berupaya menjalankan operasi dalam cuaca buruk.
Selain itu, dari masa ke semasa pegawai dan anggota APMM turut dihantar ke Jepun untuk latihan profesional bersama Japan Coast Guard (JCG).
Latihan merangkumi navigasi dan pengendalian kapal, teknik menyelamat di laut, pemantauan dan rondaan keselamatan maritim serta pelaksanaan undang-undang maritim antarabangsa
Latihan ini penting untuk meningkatkan kecekapan dan profesionalisme pegawai APMM, terutama dalam mengendalikan insiden rentas sempadan dan penyeludupan.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melaksanakan Search And Rescue Communications Exercise (SARCOMEX) di Selat Melaka bersama Agensi Pengawal Pantai Jepun (JCG) (FOTO: MARITIM MALAYSIA)
APMM melalui Maritime Rescue Coordination Centre (MRCC) Putrajaya juga sering melaksanakan Search And Rescue Communications Exercise (SARCOMEX) yang dikoordinasikan oleh Japan International Cooperation Agency (JICA).
Pada 25 Januari 2008, Duta Besar Jepun ke Malaysia, Masahiko Horie dan Setiausaha Kementerian Luar Negeri Malaysia, Tan Sri Rastam Mohd Isa telah menandatangani pertukaran nota berkenaan ‘Projek Penambahbaikan Peralatan bagi Meningkatkan Keselamatan Maritim’.
Projek bernilai RM13.4 juta ini bertujuan untuk meningkatkan keupayaan APMM dalam aspek keselamatan maritim di Selat Melaka dan perairan wilayah Malaysia.
Jepun juga pernah menempatkan seorang pakar dari Japan Coast Guard (JCG) bertugas di pejabat APMM bagi membantu meningkatkan keupayaan pegawai APMM dalam penguatkuasaan undang-undang maritim.
Selain APMM, kerajaan Jepun turut menyumbang peralatan kepada Pasukan Polis Marin di bawah projek inisiatif sama yang telah diadakan pada 17 Mac 2011 di Pangkalan Pasukan Gerakan Marin di Pelabuhan Klang.
Peralatan tersebut terdiri daripada 40 set cermin mata penglihatan malam, teropong pengukur jarak (40), radio mudah alih digital (60), dan 4 unit bot RHB yang kesemuanya bernilai RM10 juta di bawah Bantuan Geran Jepun.
Peralatan ini akan mempertingkatkan pemantauan laut di perairan Malaysia termasuk di Selat Melaka dan akan menyumbang kepada usaha yang lebih berkesan dalam membanteras jenayah laut yang dilakukan menggunakan bot laju.
Penyerahan peralatan ini kepada Pasukan Gerakan Marin merupakan fasa ketiga bantuan geran dalam usaha meningkatkan keselamatan maritim.
Selain itu, kerajaan Jepun telah menyumbangkan tiga unit kamera laser dan dua unit radio pengesan arah (Radio Direction Finders) bernilai RM16 juta kepada APMM pada Mac 2009.
Turut disumbangkan adalah 10 unit bot laju dan 14 unit pengimej haba mudah alih (hand held thermal imagers) bernilai kira-kira RM25 juta kepada Kastam Diraja Malaysia.
Difahamkan, lebih banyak bantuan menerusi inisiatif OSA akan diterima kerajaan Malaysia pada tahun hadapan dan juga berikutnya.
Jepun berharap bahawa siri projek bantuan geran dan bantuan teknikal ini akan memperkukuh keselamatan dan perlindungan maritim.
Jelaslah, negara matahari terbit yang dahulunya pernah menjadi penakluk tetapi hari ini memilih strategi bukan ketenteraan (soft balancing strategy) yang membolehkan negara-negara serantau khususnya Malaysia mengukuhkan keselamatan maritim daripada ancaman luar. – Zaki Salleh
#kolumnis #airtimes #aset #maritim #keselamatan #pertahanan #ATM #SelatMelaka #OSA #JapanCoastGuard
