JOHOR, 18 Ogos – Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Darat Filipina (TDF) telah melaksanakan Eksesais LAND MALPHI Siri 21/2023 bermula pada 15 Ogos lalu.
Markas Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Bgd) memaklumkan, eksesais kali ini dilaksanakan melalui Table Top Exercise (TTX) yang tertumpu kepada Operations in Built Up Areas (OBUA).
“Seramai 8 orang pegawai dan 120 anggota dari Batalion Kesepuluh Rejimen Askar Melayu Diraja (10 RAMD) termasuk 18 pegawai serta 2 anggota dari Batalion Infantri Ke-99 Tentera Darat Filipina terlibat dalam eksesais kali ini,
“Fokus utama Eks adalah untuk meningkatkan tahap interoperability dan memperkasakan hubungan ketenteraan antara Tentera Darat kedua-dua negara serta perkongsian ilmu dan kepakaran dalam taktik, teknik dan prosedur (TTP) Tentera Darat,” jelas pihak 7 Briged.
Majlis perasmian eksesais telah disempurnakan oleh Panglima Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Bgd), Brigedier Jeneral Mohamad Suria Mohamad Saad pada Selasa.
Menurut pihak 7 Bgd, eksesais ini merupakan siri latihan tahunan yang dianjurkan secara timbal balas antara TDM dan TDF.
Eksesais akan dilaksanakan oleh pasukan 10 RAMD yang dilantik untuk melaksanakan latihan bersama wakil pasukan dari TDF bermula 14 hingga 25 Ogos 2023. -airtimes.my