KUALA LUMPUR, 28 Mac – Malaysia dan Indonesia senada untuk meningkatkan lagi usahasama antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Nasional Indonesia (TNI).
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, usahasama ini termasuk mengukuhkan lagi kawalan sempadan Sarawak-Kalimantan, meningkatkan latihan bersama dan membawa kerjasama industri pertahanan ke tahap yang lebih tinggi.
“Sentiasa berbesar hati dapat mengadakan pertemuan dan perbincangan dua hala bersama rakan sejawat dari negara serumpun Indonesia, TYT Prabowo Subianto,
“Keakraban yang terbina sekian lama telah memudahkan lagi pengukuhan kesefahaman terutama dalam konteks pertahanan,” katanya dalam hantaran di media sosialnya, hari ini.
Sebelum itu, mesyuarat Perjanjian Kerjasama Trilateral (TCA) di antara Malaysia, Indonesia dan Filipina bersama Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto dan Setiausaha Pertahanan Filipina, Delfin N Lorenzana telah diadakan sempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA 2022) dan Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC 2022). – airtimes.my