Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Tiada keperluan tubuh pasukan keselamatan baharu di sempadan Sarawak-Kalimantan

Tiada keperluan tubuh pasukan keselamatan baharu di sempadan Sarawak-Kalimantan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 3 Ogos – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan tiada keperluan untuk kerajaan menubuhkan Sarawak-Kalimantan Border Security Alignment bagi menjaga keselamatan di kawasan sempadan negara.

Beliau berkata Operasi Benteng (OP Benteng) yang melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) sentiasa melakukan kawalan secara bersepadu di sempadan negara.

Ismail Sabri menjelaskan, Kementerian Pertahanan sentiasa memberi perhatian yang serius terhadap keselamatan terutama di negeri Sarawak.

“Ketika ini Kementerian (Pertahanan) melalui Tentera Darat Malaysia (TDM) telah menempatkan formasi-formasi di kedudukan strategik bagi mempertahankan kedaulatan negeri tersebut,

“Pasukan-pasukan yang di bawah permerintahan formasi ini sentiasa bersedia melaksanakan tugasan bagi menjaga keselamatan terutamanya di sempadan Sarawak-Kalimantan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak Anak Kumbong dan Ahli Parlimen Sibuti, Tuan Lukanisman Awang Sauni semasa sesi perbahasan di Dewan Rakyat, hari ini.

Ismail Sabri berkata, Op Benteng yang mengabungkan semua agensi penguatkuasaan dan pasukan keselamatan merupakan langkah terbaru yang telah diambil oleh kerajaan bagi memperkukuhkan kawalan sempadan daratan khususnya di negeri Sarawak.

“Dan ini termasuklah di kawasan Ahli Parlimen Hulu Rajang sendiri iaitu di kawasan Hulu Baleh. Namun, kawasan Hulu Baleh bukan dibawah tanggungjawab operasi ATM tetapi ia adalah tanggungjawab operasi Pasukan Gerakan AM (PGA) PDRM,

“Markas Pemerintahan Medan Timur selaku Land Component Commander Timur (LCC Timur) adalah bertanggungjawab untuk menyelaraskan usaha bersepadu di bawah NTF ini,

“Sehingga kini NTF telah berjaya menangkap 460 pendatang asing tanpa izin (PATI), mengusir 17 PATI dan menahan seramai 173 tekong dalam Op Benteng,

“Justeru itu, dengan wujudnya pelaksanaan operasi secara bersepadu ini, cadangan Ahli Parlimen Hulu Rajang untuk mewujudkan Sarawak Kalimantan Border Security Alignment berkenaan, dilihat tidak ada keperluan lagi,” tambahnya.

Beliau turut menegaskan, usaha memperkukuhkan hubungan baik melalui diplomasi pertahanan dengan negara jiran yang mempunyai sempadan daratan dengan Malaysia Timur sentiasa dilaksanakan melalui forum-forum serta aktiviti Patroli Terkoordinasi (PATKOR).

“TDM dan Tentera National Indonesia – Angkatan Darat (TNI-AD) turut melaksanakan rondaan keselamatan secara bersama di kawasan sempadan seperti di Limbang, Bareo dan Ba’kelalan,

“Sehubungan itu, melalui operasi-operasi yang dilaksanakan dan kerjasama bilateral dengan negara yang berkaitan, keselamatan negeri Sarawak akan terus dipelihara,” jelasnya.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply