Home Pertahanan dan Keselamatan ESSCOM perlu dikekalkan, tambah baik – Komander ESSCOM

ESSCOM perlu dikekalkan, tambah baik – Komander ESSCOM

by Bernama

LAHAD DATU, 11 Feb – Struktur dan bentuk sedia ada Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) perlu dikekalkan serta ditambah baik.

Komander ESSCOM, Datuk Hazani Ghazali berkata saranan itu mengambil kira ancaman berterusan yang masih wujud daripada penjenayah rentas sempadan membabitkan jenayah penculikan untuk wang tebusan termasuk penyeludupan senjata dan manusia.

“Hal ini juga berkait rapat dalam jangka masa lima tahun lagi. Kalimantan akan dibangunkan sepenuhnya menjadi ibu negara Indonesia, tidak mustahil akan timbul lagi permasalahan yang tidak dapat dijangkakan.

“Sebab itu saya mencadangkan agar ESSCOM dikekalkan selagi ancaman-ancaman yang wujud di negara-negara jiran ini tidak dapat kita neutralkan sepenuhnya,” katanya semalam.

Hazani bagaimanapun tidak menafikan wujud kelemahan namun begitu masih banyak kejayaan dicapai ESSCOM sejak ia ditubuhkan tujuh tahun lepas.

Katanya agensi lain yang mempunyai kaitan dengan operasi ESSCOM dicadangkan diserap ke dalam struktur perjawatan ESSCOM bagi mengukuhkan peranan organisasi keselamatan itu membanteras jenayah di kawasan pantai timur Sabah.

“Kita mencadangkan supaya ESSCOM ini ditambah baik iaitu agensi seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia (JPN) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjadi sebahagian daripada warga ESSCOM,” katanya.

Selain itu, Hazani berkata beberapa jawatan juga perlu dinilai semula termasuk dalam aspek perintah dan kawalan termasuk mengkoordinasi aset dan anggota serta tugas pengawasan.

Beliau berkata cadangan itu selari dengan rancangan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menubuhkan satu briged lagi di kawasan pantai timur Sabah iaitu di Kalabakan, selain polis mahu mewujudkan dua batalion Pasukan Gerakan Am iaitu Batalion 21 di Kunak dan Batalion 22 di Kudat.

Beliau berkata kebolehan ESSCOM sudah sinonim dengan masyarakat di pantai timur Sabah, malahan akan timbul kegusaran dalam kalangan orang awam sekiranya wujud khabar ESSCOM ditutup.- Bernama

 

Related Articles

Leave a Reply