PONTIAN, 18 Jan – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah mengerakkan sebuah pesawat AW139 dan bot Kilat 12 bagi melaksanakan pemantauan mencari lagi mangsa bot disyaki membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) yang karam di perairan Pontian, awal pagi tadi.
Pengarah APMM Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, pihaknya telah mengaktifkan Operasi Carilamat (Op Carilamat) bagi mencari 7 lagi mangsa yang disyaki masih hilang.
Beliau berkata, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru telah menerima aduan pada jam 10.00 pagi tadi mengenai penemuan 6 mangsa warga Indonesia, disyaki PATI telah diselamatkan oleh sebuah bot nelayan tempatan di kedudukan 0.3 barat daya Pontian Besar.
“Berdasarkan maklumat awal mangsa terselamat, bot yang dinaiki membawa lebih kurang 13 penumpang termasuk tekong telah karam dipukul ombak kuat semasa cuba memasuki Malaysia dan namun dikatakan 7 lagi mangsa masih hilang di laut,
“Op Carilamat diaktifkan sekitar jam 10.20 pagi tadi dan Pangkalan Hadapan CARILAMAT (PHC) telah ditubuhkan di Jeti Persatuan Nelayan Pontian Besar,” jelasnya dalam kenyataan pada Selasa.
Nurul Hizam menjelaskan, pihaknya turut mendapatkan bantuan aset daripada agensi sahabat bagi membantu Op Carilamat ini.
Tambahnya, kesemua 6 mangsa yang terselamat telah dibawa ke Hospital Pontian untuk mendapatkan rawatan lanjut. -airtimes.my