KOTA TINGGI, 15 Dis – Sekurang-kurangnya 29 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) dilaporkan hilang selepas bot yang dipercayai membawa 60 PATI karam akibat cuaca buruk di perairan Tanjung Balau, sekitar jam 4.30 pagi tadi.
Pengarah Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, seramai 21 orang telah selamat sampai ke daratan dan 10 mayat telah ditemui pasukan Tentera Darat Malaysia (TDM).
Manakala, 29 mangsa masih lagi tidak ditemui.

Anggota Op Benteng Tentera Darat Malaysia menahan 21 PATI Indonesia terdiri daripada 19 lelaki dan 2 wanita yang baharu saja mendarat di persisir Pantai Tanjung Balau, Kota Tinggi.
Beliau menjelaskan, pihak Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru telah menerima laporan kejadian daripada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Penawar yang memaklumkan menerima maklumat daripada pihak Markas Taktikal Tanjung Sepang mengenai penemuan bot tersebut bersama PATI di pantai Tanjung Balau.
“Anggota APMM diaturgerakkan bagi Operasi Cari dan Menyelamat (Op Carilamat) pada 8.50 pagi,
“Pesawat AW 139 AGUSTA, kapal KM TEGAS dan bot PETIR 50 diaturgerakkan bagi mengesan serta mencari baki mangsa yang terlibat,” jelasnya dalam kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div) menjelaskan, hasil serbuan yang dilakukan mendapati 21 PATI berkenaan merupakan warga Indoensia dan kesemua mereka terdiri daripada 19 lelaki serta 2 wanita yang ingin memasuki negara.
Tambahnya, 6 lelaki dan 4 wanita telah disahkan meninggal dunia oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dipercayai mati lemas ketika hendak berenang ke persisir pantai.

Bot berukuran 44 kaki dan 4 buat enjin bot 200HP yang dipercayai membawa 60 PATI Indonesia yang karam di persisir pantai Tanjung Balau.
Pihak 3 Div menjelaskan, pasukan juga telah merampas sebuah bot berukuran 44 kaki bernilai RM44,000.00 bersama 4 buah enjin bot 200HP (RM88,000.00). Manakala, jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM128 ribu.
“Pasukan juga telah mengaturgerakkan Tim Quick Reaction Force (QRF) dan Tim Dron Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta bantuan dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk mencari saki baki PATI di sekitar kawasan tangkapan. -airtimes.my