Home Pertahanan dan Keselamatan Satu lagi mayat mangsa bot karam ditemui

Satu lagi mayat mangsa bot karam ditemui

by Nurulhuda

KOTA TINGGI, 17 Dis – Satu lagi mayat lelaki dipercayai mangsa insiden bot karam Tanjung Balau, ditemukan terapung oleh nelayan tempatan di posisi 2.7 batu nautika timur Tanjung Punggai sekitar jam 8.35 pagi tadi.

Tanjung Pungai terletak kira-kira 23 kilometer dari Pantai Tanjung Balau, lokasi kejadian itu berlaku.

Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguat kuasa Maritim Malaysia (APMM) Johor, Kepten Maritim Simon Templer Lo Ak Tusa berkata, mayat berkenaan dijumpai berpakaian lengkap tanpa kasut dan berdasarkan pemerhatian, mangsa dipercayai telah meninggal dunia lebih 2 hari.

Beliau berkata, mayat lelaki yang dianggarkan berusia 30-an itu dibawa ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Sungai Musuh, sebelum dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru.

Simon turut memaklumkan, salah seorang daripada 14 mangsa bot karam yang terselamat tempoh hari dilaporkan meninggal dunia tengah malam tadi di Hospital Kota Tinggi.

Menurutnya, mangsa lelaki sebelum itu dilaporkan berada dalam kritikal ketika ditemukan pada hari pertama insiden.

“Mengikut laporan yang diterima, mangsa berusia 30-an disahkan meninggal dunia disebabkan lemas,

“Ia menjadikan jumlah mangsa yang selamat ialah 13 orang, masih hilang 16 orang dan 21 meninggal dunia,” katanya pada Jumaat.

Pada masa yang sama, Simon menjelaskan sektor pencarian meliputi Tanjung Balau hingga Tanjung Penawar.

Terdahulu, Simon dalam kenyataan menjelasnkan sebanyak 3 pesawat udara digerakkan bagi pencarian udara hari ini melibatkan sebuah helikopter AW139 daripada APMM, sebuah helikopter Pasukan Gerakan Udara (PGU Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan helikopter Mi-17 daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Pencarian di laut akan melibatkan 5 aset laut iaitu sebuah kapal APMM iaitu KM Tegas selaku ‘On Scene Coordinator’, sebuah bot Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan 2 aset Pasukan Polis Marin (PPM) iaitu sebuah kapal dan sebuah bot,

“Manakala pencarian di pesisir pantai diteruskan oleh agensi lain terdiri daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), bomba, polis dan juga Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply