Home Pertahanan dan Keselamatan Radar pemantauan ATM selamatkan nelayan Filipina dalam tragedi bot karam

Radar pemantauan ATM selamatkan nelayan Filipina dalam tragedi bot karam

by Nurulhuda

SANDAKAN, 2 Jan – Tindakan pantas Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa Filipina mengenai insiden bot nelayan karam berhampiran perairan negara, berjaya menyelamatkan semua mangsa, pada Sabtu.

Markas ATB 2 dalam kenyataan memaklumkan, pasukan tersebut menerusi Radar Stesen Pengawasan Pesisir Pantai (CSS) telah mengesan sebuah bot nelayan karam di luar sempadan perairan negara pada 9.50 pagi.

“Pusat Operasi Wilayah Bersama (POWB) berpusat di Markas ATB 2 bertindak menyalurkan maklumat kejadian kepada Pusat Pemerintahan Maritim (MCC) Malaysia, yang kemudian menyalurkan maklumat berkenaan kepada MCC Filipina bagi menyelaras operasi menyelamat luar sempadan perairan Malaysia,

“Pada pukul 10.50 pagi, operasi menyelamat telah dilaksanakan oleh Pasukan Marin Filipina dari Pulau Taganak,” menurut kenyataan itu.

Menurutnya, hasil maklumat daripada MCC Filipina, bot yang didaftarkan sebagai ML RIHANA tersebut dipercayai karam apabila berlaku kebocoran di bahagian badan bot kerana pukulan ombak yang kuat.

Disamping itu, KD PAUS Tentera Luat Diraja Malaysia telah diaturgerakkan ke sekitar lokasi tersebut bagi pemantauan dan keselamatan serta turut memaklumkan kejadian tersebut kepada Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) untuk tindakan selanjutnya.

Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad turut menzahirkan penghargaan atas kejayaan tersebut dan mengingatkan anggota agar sentiasa meningkatkan kesiagaan serta keupayaan operasi bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Menurutnya lagi, kejayaan ini membuktikan sistem radar memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan operasi dan keselamatan sempadan Perairan Pantai Timur Sabah berada ditahap tertinggi.-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply