SINGAPURA, 26 OGOS – Malaysia dan Singapura memperkukuh lagi kerjasama pertahanan maritim melalui pemeteraian perjanjian Mutual Submarine Rescue Support and Cooperation antara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Laut Republik Singapura (RSN).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perjanjian itu membolehkan kedua-dua negara menghulurkan bantuan teknikal, operasi dan logistik sekiranya mana-mana kapal selam berdepan musibah, kemalangan atau insiden yang tidak diingini.
“Perjanjian ini juga memperkukuh kebolehkendalian aset antara TLDM dan RSN melalui perkongsian pendekatan terbaik serta peluang latihan dan eksesais secara bersama,” katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.
Majlis pemeteraian turut disaksikan oleh beliau bersama Menteri Pendidikan Singapura merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Perhubungan Perdagangan, Tuan Yang Terutama Chan Chun Sing.
Perjanjian itu ditandatangani oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri (Dr.) Zulhelmy Ithnain dan Panglima Tentera Laut Republik Singapura, Laksamana Muda Sean Wat Jianwen.
Terdahulu, Mohamed Khaled menerima kunjungan hormat Menteri Pertahanan Singapura, Chan Chun Sing di Wisma Pertahanan sempena lawatan rasmi pertama beliau ke negara ini.
Lawatan itu menandakan satu pencapaian penting dalam memperkukuh hubungan erat yang sedia terjalin antara kedua-dua negara jiran melalui pelbagai pengisian diplomatik bermakna.
Sementara itu, Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam satu kenyataan berkata, pertemuan itu merangkumi perbincangan yang konstruktif bagi memajukan kerjasama pertahanan dua hala dan pelbagai hala.
“Kedua-dua menteri menegaskan komitmen bersama untuk menangani cabaran keselamatan serantau serta mempromosikan keamanan dan kestabilan di seluruh Asia Tenggara,
“Seiring dengan Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada 2025, kedua-dua Menteri menegaskan tekad untuk meningkatkan kerjasama pertahanan melalui pelaksanaan berkesan pelbagai inisiatif yang akan datang dalam memajukan matlamat bersama demi keamanan dan kestabilan serantau,” jelas kenyataan itu lagi.
Kerjasama ini diyakini memberi manfaat kepada kedua-dua pihak memandangkan operasi menyelamat bencana membabitkan kapal selam memerlukan peralatan, kepakaran dan kesiapsiagaan tinggi. -airtimes.my
#pertahanan #MINDEF #Malaysia #Singapura #airtimes






