KUALA LUMPUR, 6 MAC – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan solidariti Malaysia terhadap Turkiye susulan insiden peluru berpandu balistik yang dikesan menghala ke ruang udara negara itu dalam satu perhubungan telefon bersama Presiden Recep Tayyip Erdoğan, malam tadi.
Dalam perbincangan tersebut, Anwar menyifatkan insiden berkenaan sebagai gambaran betapa rapuhnya tahap keselamatan di Asia Barat ketika ini.
Beliau dan Erdogan senada bahawa semua pihak yang terlibat perlu menunjukkan tahap kawalan diri dan kebijaksanaan tertinggi bagi mengelakkan keadaan daripada terus meruncing.
Anwar turut menyentuh mengenai risiko ketidaktentuan serius yang bakal dihadapi rantau tersebut susulan insiden pembunuhan beberapa pimpinan tertinggi Iran, termasuk Almarhum Ali Khamenei.
“Peristiwa ini berisiko menjerumuskan Asia Barat ke dalam ketidaktentuan yang serius dan berpanjangan. Malaysia menyeru semua pihak menurunkan ketegangan dan menghentikan serangan yang berisiko mencetuskan ketidakstabilan lebih luas melangkaui Asia Barat,” tegas beliau.
Menurut Anwar, pendekatan yang berteraskan dialog dan diplomasi mesti menjadi keutamaan bagi meredakan konflik yang semakin meruncing.
Selain isu keselamatan serantau, kedua-dua pemimpin turut membincangkan perkembangan di Palestin. Anwar menyatakan penghargaan kepada Turkiye dan negara-negara lain yang konsisten mengutuk keputusan Israel untuk memperluas penempatan haram di Tebing Barat.
Beliau menegaskan bahawa pendirian Malaysia kekal jelas bahawa tindakan tersebut merupakan satu bentuk pencabulan nyata terhadap undang-undang antarabangsa. -airtimes.my


