KUALA LUMPUR, 4 FEB – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, hari ini menzahirkan nasihat serta pesanan kepada Panglima Angkatan Tentera (PAT) baharu, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman.
Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa kekuatan sesebuah angkatan pertahanan bukan hanya bergantung kepada kecanggihan aset dan teknologi semata-mata, tetapi turut ditentukan oleh nilai integriti.
Nasihat tersebut dizahirkan ketika Seri Paduka Baginda berkenan menerima mengadap Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman di Istana Negara, hari ini.
“Integriti, ketelusan dan akauntabiliti adalah asas penting dalam memastikan ATM kekal dihormati serta diyakini rakyat,” titah Seri Paduka Baginda.
Dalam masa sama, Sultan Ibrahim turut bertitah budaya menolak rasuah serta salah guna kuasa harus menjadi teras utama dalam kepimpinan tertinggi ATM bagi memastikan institusi pertahanan negara kekal dihormati.
“Seluruh warga ATM perlu mengekalkan disiplin tinggi dan menjadikan prinsip menolak rasuah sebagai budaya kerja yang berterusan demi kedaulatan dan kepentingan negara,” titah Seri Paduka Baginda.
Dalam pertemuan sama, Sultan Ibrahim turut berkenan mengingatkan agar kepimpinan tertinggi ATM sentiasa mengutamakan kebajikan anggota, di samping mempertingkatkan keupayaan pertahanan selaras dengan cabaran keselamatan semasa.
Beliau turut menzahirkan keyakinan penuh bahawa Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman mampu menggalas amanah dan tanggungjawab sebagai Panglima Angkatan Tentera (PAT) dengan penuh dedikasi serta integriti. -airtimes.my


