FLORIDA, 23 DIS – Presiden Donald Trump mengumumkan untuk membina 2 kapal baharu untuk Tentera Laut Amerika Syarikat (US Navy), Kapal Tempur (Battleship) kelas TRUMP.
Pengumuman ini disifatkan sebagai teras kepada usaha mengukuhkan dominasi maritim negara itu.
Trump berkata kapal tempur tersebut akan menjadi yang terbesar, terpantas serta paling berkuasa pernah dibina, dengan keupayaan tempur jauh mengatasi mana mana kapal tempur sebelum ini. Menurut beliau, pembinaan akan dilakukan sepenuhnya di Amerika Syarikat menggunakan keluli tempatan serta dilengkapi peluru berpandu, sistem meriam, senjata laser dan sistem persenjataan hipersonik.
Presiden AS menjelaskan bahawa 2 kapal tempur itu hanya permulaan, dengan perancangan jangka panjang melibatkan pembinaan antara 20 hingga 25 buah kapal tempur baharu.
Kapal pertama dijangka dinamakan USS Defiant, dengan Trump sendiri terlibat dalam aspek reka bentuk luaran kapal tersebut.
“Reka bentuk kapal ini telah dipertimbangkan sejak sekian lama. Setiap kapal akan menjadi kapal tempur terbesar dalam sejarah Amerika Syarikat dan juga dalam sejarah dunia,” kata Trump dalam satu sidang media pada Isnin (pagi Selasa waktu Malaysia).
Beliau turut menyatakan bahawa Amerika Syarikat tidak membina kapal tempur kelas Battleship sejak 1994. Trump turut menegaskan kapal baharu itu akan menjadi antara aset peperangan permukaan paling ampuh.
Pengumuman ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Golden Fleet yang menyasarkan peningkatan kekuatan tentera US Navy. Inisitif itu turut melibatkan pembangunan kelas frigat baharu yang lebih kecil dan lincah dalam melaksanan operasi pelbagai domain.
Secara sejarah, istilah Battleship merujuk kepada kapal permukaan bersaiz besar yang dilindungi perisai tebal dan dilengkapi meriam berat untuk menentang kapal musuh atau menyerang sasaran darat. Peranan kapal jenis ini memuncak semasa Perang Dunia Kedua dengan kehadiran beberapa kapal yang menjadi ikon sejarah seperti YAMATO (Jepun), BISMARCK (Jerman) dan IOWA (Amerika Syarikat).
Kali terakhir kapal perang kelas ini beroperasi adalah semasa Perang Teluk 1991 di Iraq. Dalam peperangan itu, 2 kapal perang kelas IOWA, USS MISSOURI dan USS WISCONSIN digunakan bagi menggempur sasaran pesisir. – airtimes.my


































