Ketegangan antara Thailand dan Kemboja sering disamakan seperti bara yang tidak pernah padam, konflik yang tercetus hari ini bukan muncul secara tiba tiba tetapi berpunca daripada sejarah yang panjang, perjanjian kolonial yang kabur dan perebutan kawasan strategik yang melibatkan warisan budaya serta identiti nasional.
Latar belakang konflik antara kedua negara bermula sejak awal abad ke 20 ketika empayar Perancis menguasai Kemboja sebagai sebahagian daripada Indochina. Perjanjian sempadan tahun 1907 yang ditandatangani antara Perancis dan Siam menjadi asas kepada garisan sempadan hari ini.
Namun peta kolonial yang digunakan ketika itu mempunyai tafsiran berbeza yang menyebabkan perbezaan persepsi antara Bangkok dan Phnom Penh. Walaupun peta itu dianggap dokumen rasmi, kedua dua negara memberi interpretasi bertentangan tentang kedudukan sebenar garisan sempadan. Ketidaktentuan tersebut kemudian menjadi punca pertikaian yang melarat berpuluh tahun.

Pertikaian sempadan yang telah berlarutan sejak beberapa abad. FOTO: Hiasan
Isu paling sensitif dan menjadi simbol kepada konflik ini ialah kawasan sekitar Kuil Preah Vihear yang terletak di puncak bukit di sempadan kedua negara. Pada tahun 1962, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) menetapkan kuil itu berada dalam wilayah Kemboja.
Namun keputusan itu tidak menyelesaikan persoalan sempadan sekelilingnya sehingga mencetuskan pergeseran berulang, bagi rakyat Thailand, kawasan tersebut mempunyai nilai sejarah dan budaya yang kuat manakala bagi Kemboja pula ia dianggap lambang maruah negara. Perselisihan ini kemudian bertukar menjadi isu nasionalisme sehingga menyukarkan usaha damai.
Memasuki abad ke dua puluh satu, konflik kembali memuncak terutama pada tahun 2008 hingga 2011 apabila kedua dua negara terlibat dalam pertempuran menggunakan artileri dan senjata berat. Walaupun gencatan senjata dicapai, rundingan sempadan tetap gagal menyelesaikan pertikaian secara menyeluruh.

Kuil Khmer purba Prasat Ta Muen Thom atau Prasat Ta Moan Thom yang dipertikaikan di Khmer, sempadan Kemboja-Thai di wilayah Oddar Meanchey. FOTO: Hiasan
Hampir seluruh sempadan sejauh lebih lapan ratus kilometer masih belum ditanda dengan jelas. Keadaan ini membuka ruang kepada provokasi apabila tentera kedua negara membuat rondaan atau membina struktur di kawasan yang didakwa milik masing masing.
Tahun 2025 menyaksikan kemuncak ketegangan terkini apabila pertempuran baharu tercetus di sepanjang beberapa lokasi sempadan termasuk berhampiran kawasan kuil purba. Menurut laporan antarabangsa, Thailand melancarkan serangan udara ke arah posisi tentera Kemboja selepas mendakwa wujud provokasi dan tembakan artileri dari seberang sempadan.
Kemboja pula menuduh Thailand melancarkan pencerobohan serta menyerang kawasan awam yang menyebabkan kematian dan kemusnahan infrastruktur. Pertempuran ini mencetuskan kebimbangan besar sama ada konflik mampu merebak menjadi perang terbuka antara dua negara anggota ASEAN.

FOTO: Hiasan
Situasi semakin memburuk apabila ribuan penduduk kampung di sempadan dipindahkan bagi mengelakkan risiko tembakan balas dan serangan artileri. Laluan perdagangan ditutup, aktiviti pelancongan terhenti dan operasi ketenteraan ditingkatkan oleh kedua dua pihak.
Walaupun perjanjian gencatan senjata telah dicapai di Kuala Lumpur sebelum ini, kepercayaan antara Thailand dan Kemboja berada pada tahap paling rendah.
Konflik ini menjadi semakin sukar ditangani kerana ia tidak hanya melibatkan isu tuntutan wilayah tetapi turut berkait rapat dengan sentimen nasionalisme, kepentingan strategi dan warisan sejarah. Setiap kali berlaku rundingan, faktor politik domestik kedua negara menghalang kompromi.

Perjanjian Damai antara Thailand–Kemboja ditandatangani sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di KLCC pada Oktober lalu. FOTO: Sekreteriat ASEAN
Pemimpin yang dilihat terlalu bertolak ansur berisiko kehilangan sokongan rakyat. Justeru pertikaian sempadan ini kekal berada dalam keadaan rapuh walaupun usaha diplomasi dilakukan.
Dalam keadaan semasa, konflik Thailand Kemboja menunjukkan bahawa isu sempadan yang tidak diselesaikan dengan jelas mampu menjadi ancaman keselamatan serantau.
Tanpa tanda rasmi persempadanan yang dipersetujui bersama dan komitmen politik yang kukuh, hubungan kedua negara akan terus dibayangi risiko konfrontasi manakala penduduk yang tinggal di kawasan sempadan pula akan kekal menjadi mangsa ketidakstabilan. -airtimes.my
#Thailand #Kemboja #Konflik #Sempadan #Ketenteraan #Asean #Airtimes
