Di tengah-tengah peralihan landskap keselamatan global yang semakin tidak menentu, penghujung bagi tahun 2025 bakal terpahat sebagai detik penentu dalam sejarah ketenteraan Asia Selatan, apabila Bangladesh menandatangani Letter of Intent (LOI) dengan syarikat pertahanan gergasi Itali, Leonardo.
Keputusan Dhaka menyatakan hasrat memperoleh skuadron lengkap pesawat tempur Eurofighter Typhoon adalah manifestasi keberanian strategik yang bakal mengubah doktrin pertahanan negara tersebut buat jangka panjang.
Langkah ini bukan sekadar urusan komersial, tetapi ia mencerminkan satu transformasi mendalam bagi hala tuju pemodenan Tentera Udara Bangladesh (BAF). Daripada sebuah angkatan udara yang sealama ini bergantung pada teknologi legasi dan doktrin defensif, BAF kini sedang berevolusi menjadi pengendali salah satu pesawat tempur “Omni-Role” paling canggih di dunia.
Ini meletakkannya sebaris dengan kuasa-kuasa udara utama NATO dan negara Teluk.
Realisasi Forces Goal 2030: Penantian satu dekad
Sejak lebih satu dekad lalu, BAF berdepan tekanan operasi yang mendesak. Tulang belakang pertahanan udaranya terdiri daripada pesawat era Perang Dingin, iaitu Chengdu F-7 buatan China yang semakin using dan MiG-29 buatan Rusia yang menuntut kos penyelenggaraan tinggi.
Program Multi-Role Combat Aircraft (MRCA) yang dirancang sejak tahun 2017 berulang kali tertangguh akibat kekangan bajet, birokrasi dan ketidaktentuan geopolitik.
Namun, visi Forces Goal 2030 yang dilancarkan pada tahun 2009 menjadi pemangkin kepada keputusan hari ini. Sasaran utamanya adalah jelas, membentuk angkatan udara tiga dimensi yang lebih seimbang, berkeupayaan tinggi dan relevan.
Justeru, langkah ini menandakan keseriusan Dhaka untuk menaik taraf doktrin pertahanannya daripada sekadar “pertahanan udara terhad” (point defense) kepada keupayaan penguasaan udara (air superiority) dan serangan strategik jarak jauh.
Peralihan Kiblat Teknologi: Mengapa Eropah, Bukan China?

Eurofighter Typhoon berkeupayaan bertukar dengan mudah dari udara ke udara kepada udara ke permukaan dan kembali semula dalam misi yang sama. Foto: Airbus
Satu persoalan besar yang dibangkitkan daripada perolehan ini: Mengapa pada kali ini Dhaka memilih teknologi dari Eropah, sedangkan selama ini China menjadi pembekal utama aset ketenteraannya yang murah dan mudah diakses.
Namun, pemilihan Eurofighter Typhoon mendedahkan perkiraan pragmatik yang baharu di Dhaka. Faktor kebolehpercayaan dan kualiti. Walaupun aset buatan China lebih murah, BAF memerlukan pesawat yang mempunyai rekod prestasi tempur yang terbukti dan keupayaan enjin yang tahan lasak untuk operasi intensiti tinggi, satu kriteria yang sukar dipenuhi oleh platform Timur dalam kelas yang sama.
Selain itu, faktor geopolitik pasca-konflik Ukraine. Sekatan ekonomi ketat (seperti CAATSA) ke atas industri pertahanan Rusia, menjadikan penyelenggaraan aset Rusia seperti MiG-29 menjadi semakin sukar.
Dhaka menyedari risiko besar. Dengan beralih kepada konsortium Eropah melalui Leonardo, Bangladesh sahaja mempelbagaikan rantaian bekalan logistiknya, tetapi juga menjamin akses kepada teknologi avionik Barat, termasuk radar AESA dan peluru berpandu Beyond Visual Range (BVR) seperti Meteor yang jauh lebih superior berbanding pesaingnya.
Imbangan Kuasa dan Dinamik Serantau
Kehadiran Eurofighter Typhoon di pangkalan udara Bangladesh bakal mengubah suai imbangan kuasa di Asia Selatan. Tidak boleh dinafikan faktor Myanmar. Dengan Naypyidaw kini mengoperasikan pesawat canggih seperti Su-30SME dai Rusia dan JF-17 Thunder, Bangladesh memerlukan satu bentuk pencegahan yang kredibel.
Typhoon dengan keupayaan supercruise dan kelincahan dogfight yang luar biasa, memberikan BAF kelebihan kualitatif untuk mengimbangi ancaman dari timur. Di sebelah Barat pula, India yang telah mengoperasikan Dessault Rafale pasti memerhatikan perkembangan ini dengan teliti.
Walaupun Bangladesh tidak berniat untuk bersaing secara langsung dengan New Delhi, pemilikan Typhoon bermakna BAF kini mampu “duduk semeja” dengan maruah teknologi yang setaraf. Ia memberi mesej bahawa keselamatan ruang udara Bangladesh kini diuruskan secara mandiri tanpa perlu bergantung pada perlindungan keselamatan dari negara jiran yang besar.
Diplomasi dan kematangan strategik

Dalam misi penguasaan udara, Eurofighter Typhoon dilengkapi dengan peluru berpandu udara-ke-udara untuk pertempuran jarak jauh dan pertempuran jarak dekat. Foto: Airbus
Keputusan ini adalah satu isyarat diplomasi yang halus namun tegas. Dengan memilih teknologi Eropah, ia menolak naratif bahawa ia hanyalah “negeri naungan” atau proksi China di rantau ini. Sebaliknya, Ia mempamerkan dasar luar yang bebas, berkecuali dan berani membuat keputusan berdasarkan kepentingan nasionalnya sendiri.
Walaupun LOI ini belum lagi sebuah kontrak muktamad, impaknya sudah mula dirasai. Ia adalah simbol kematangan strategik Bangladesh sebagai sebuah kuasa pertahanan yang sedang membangun (emerging power). Kini, bermulalah era baharu di mana BAF bukan lagi sekadar pasukan sokongan, tetapi bakal muncul sebagai sebuah angkatan udara yang lebih berwibawa dan berkeupayaan tinggi.
Bangladesh kini bersedia melangkah keluar daripada bayang-bayang pendekatan konservatif, menuju masa depan yang dipacu oleh teknologi generasi 4.5 yang bakal menjamin keselamatan negara untuk dekad-dekad mendatang. -airtimes.my
#Airtimes #EurofighterTyphoon #Bangladesh #LOI #Itali #China #BAF














