Malaysia kini berada di persimpangan penting dalam menentukan hala tuju Angkatan Udara masa depan negara apabila Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin baru-baru ini mengeluarkan kenyataan bahawa Kementerian Pertahanan (MINDEF) sedang mempertimbangkan perolehan jet pejuang generasi kelima (5G) dari Perancis, Amerika Syarikat (AS) atau Russia.
Pertimbangan ini akan dibuat sekiranya urusan untuk mendapatkan pesawat F/A-18C/D Hornet milik Tentera Udara Kuwait (KAF) mengambil masa terlalu lama untuk dimuktamadkan sekaligus merupakan sebahagian usaha untuk menggantikan semua pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) secara berperingkat menjelang tahun 2040.
“Masa untuk kita mendapat penyerahan jet (F/A-18 Hornet) itu telah makan masa yang begitu lama dan sehingga kini masih lagi pihak Kuwait belum ada ketentuan bila mereka boleh dapat jet baharu mereka. Selagi mereka tidak dapat jet baharu mereka, selagi itu mereka tidak boleh nak serahkan F/A-18 Hornet kepada kita.

Pesawat F/A-18C/D Hornet milik Tentera Udara Kuwait (KAF). FOTO: HIASAN
“Justeru, kita sudah boleh menimbang untuk memikirkan perolehan jet baharu generasi kelima sama ada dari Perancis, AS, Russia di mana keputusan penilaian akan ambil masa panjang.
“Mereka boleh kemukakan keputusannya mungkin hanya pada tahun 2033 atau 2034 kerana jangkaan kita hendak menggantikan semua pesawat dengan pesawat baharu menjelang 2040,” katanya ketika sesi penggulungan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13), di Dewan Rakyat pada Rabu.
Persoalannya, pesawat mana yang paling sesuai untuk Malaysia? Adakah Rafale F4 dari Perancis, F-35 Lightning II dari Amerika Syarikat, atau Su-57 Felon dari Rusia yang mampu memenuhi keperluan strategik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjelang tahun 2040?.
Jet pejuang Rafale F4

Jet pejuang Rafale-F4 keluaran Dassault Aviation. FOTO: Rafale
Rafale F4 yang keupayaannya hampir mencapai dengan pesawat tempur generasi kelima dari Dassault Aviation merupakan calon utama dari Perancis. Walaupun secara teknikal ia dikategorikan sebagai jet generasi 4.5, versi F4 dilengkapi dengan naik taraf besar yang membawanya lebih dekat ke tahap generasi kelima.
Ia memiliki radar AESA RBE2-AA, sistem peperangan elektronik Spectra yang terkenal, serta kemampuan sensor fusion yang membolehkan juruterbang menggabungkan maklumat dari pelbagai sumber dengan lebih cepat. Keunggulannya terletak pada fleksibiliti misi, dari serangan darat hingga peperangan laut, malah ia juga menjadi platform nuklear Perancis.
Tambahan pula, Rafale sudah digunakan oleh beberapa negara termasuk India, Mesir dan Emiriah Arab Bersatu. Dari sudut hubungan diplomatik, Perancis terbukti rakan industri yang fleksibel, sanggup berkongsi teknologi dan membuka peluang kerjasama penyelenggaraan tempatan.
F-35 Lightning II

F-35 Lightning II. FOTO: Lockheed Martin
F-35 Lightning II pula adalah ikon sebenar jet pejuang generasi kelima. Dihasilkan oleh Lockheed Martin, ia menonjol dengan keupayaan penuh, sensor fusion generasi baharu, serta operasi berpusat rangkaian yang membolehkannya berfungsi sebagai “pengumpul maklumat” dalam peperangan moden.
Pesawat ini sudah dioperasikan lebih 15 negara, termasuk jiran serantau seperti Singapura. Dari segi kelebihan teknologi, F-35 sukar ditandingi. Namun, kekangan besar bagi Malaysia ialah kos operasi yang tinggi serta implikasi geopolitik.
Perolehan F-35 akan menempatkan Malaysia lebih rapat dalam orbit AS, yang mungkin menimbulkan sensitiviti dalam hubungan dengan China dan Rusia. Tambahan pula, Washington biasanya mengenakan syarat ketat dalam perjanjian eksport senjata, termasuk kawalan penggunaan dan penyelenggaraan.
Sukhoi Su-57

Jet pejuang generasi kelima Sukhoi Su-57 buatan Rusia. FOTO: Rusia MOD
Sukhoi Su-57 Felon dari Rusia pula menjadi pilihan yang unik. Ia direka sebagai jet generasi kelima multirole dengan pelbagai ciri gabungan, kelincahan tinggi, dan kemampuan membawa pelbagai jenis senjata.
Rusia mendakwa Su-57 mempunyai radar cross-section yang rendah serta dilengkapi avionik moden. Namun, dari segi produksi, Su-57 masih belum mencapai tahap pengeluaran besar-besaran seperti F-35.
Malaysia sememangnya sudah biasa dengan platform Rusia seperti Su-30MKM, sekali gus menjadikan aspek latihan juruterbang dan penyelenggaraan lebih mudah diintegrasikan. Walau bagaimanapun, sekatan antarabangsa terhadap Rusia susulan konflik Ukraine boleh menjejaskan akses kepada alat ganti dan sokongan logistik jangka panjang.
Dari perspektif Malaysia, pilihan terbaik tidak hanya bergantung pada kecanggihan teknologi, tetapi juga kos, kebolehan penyelenggaraan, dan hubungan geopolitik. Rafale F4 menawarkan keseimbangan antara kemampuan moden dengan kerjasama industri tempatan yang lebih terbuka.
F-35 pula adalah simbol dominasi teknologi, tetapi datang bersama harga tinggi dan implikasi politik yang besar. Su-57 memberi peluang mengekalkan hubungan dengan Rusia, namun risiko sekatan serta isu konsistensi produksi tidak boleh diketepikan.
Akhirnya, keputusan ini bukan sekadar soal pesawat mana lebih canggih, tetapi strategi jangka panjang Malaysia dalam memastikan kedaulatan ruang udaranya kekal terjamin. Adakah negara ini mahu mengekalkan keseimbangan hubungan antarabangsa dengan memilih platform yang lebih neutral seperti Rafale, atau berani menempah pesawat tercanggih F-35 yang membawa sekali bayangan geopolitik Amerika Syarikat?.
Atau adakah Malaysia sanggup mengambil risiko dengan Su-57, yang walaupun menjanjikan keupayaan tinggi, tetapi penuh dengan ketidakpastian politik dan teknikal?.Apa pun pilihannya, keputusan ini akan menentukan hala tuju kekuatan udara Malaysia untuk beberapa dekad akan datang. – airtimes.my
#AirTimes #Pertahanan #TUDM #Rafale #F35 #Su57 #ATM #GenerasiKelima #Malaysia











