Home DiskusiUAS ANKA: Dimensi baharu kawalan udara maritim Malaysia

UAS ANKA: Dimensi baharu kawalan udara maritim Malaysia

by Aqilah Azman
A+A-
Reset

Kepesatan pembangunan teknologi canggih di seluruh dunia kini menjadi keutamaan dalam pelbagai sektor, khususnya ekonomi, sosial, serta sektor pertahanan. Bagi Malaysia, aspek keselamatan dan kedaulatan negara wajar untuk sentiasa diperkukuh melalui penguasaan teknologi baharu, demi memastikan rakyat kekal dilindungi daripada sebarang bentuk ancaman.

Seiring perkembangan itu, negara bakal mencipta lembaran baharu dalam arena pertahanan yang akan memukau ruang udara, apabila dijadual menerima tiga unit pesawat tanpa pemandu jenis ANKA, Medium Altitude Long Endurance-Unmanned Aerial System (MALE-UAS) keluaran Turkish Aerospace Industries (TAI), pada Februari 2026. Perolehan ini bukan sekadar menambah bilangan aset, tetapi menandakan anjakan penting dalam doktrin kawalan udara maritim negara.

Anjakan kawalan maritim Malaysia

Kemasukan ANKA-S ke dalam inventori Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), membolehkan pemantauan jarak jauh dengan keupayaan capaian sehingga 250 kilometer. Keupayaan ini akan memperkukuh pertahanan udara dan maritim negara, terutama di kawasan sensitif seperti Laut China Selatan (LCS), Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE), serta laluan perkapalan utama antarabangsa yang menjadi nadi perdagangan global.

Kementerian Pertahanan sebelum ini, telah mengesahkan pembelian ANKA semasa Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA 2023) bersama TAI, dengan nilai anggaran melebihi RM400 juta. Dengan itu, Malaysia sekali gus menjadi negara pertama di Asia Tenggara mengoperasikan dron ANKA-S. Kesemua aset tersebut akan ditempatkan di Pangkalan Udara Labuan, bagi tujuan pemantauan perairan, pengesanan potensi ancaman serta pencegahan pencerobohan ke dalam wilayah perairan negara.

“Kerajaan komited memanfaatkan teknologi baharu, khususnya teknologi dron atau UAS, bagi memperkukuh keupayaan pemantauan, pengawasan dan kawalan keselamatan di kawasan sempadan darat, perairan mahupun ruang udara,” jelas, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam jawapan lisan di Dewan Rakyat.

Keupayaan teknikal ANKA-S

Kursus disediakan oleh TAI, bertujuan mempersiapkan jurutera dan juruteknik TUDM berkemahiran dalam melaksanakan penyelenggaraan peringkat 0-Level bagi pesawat UAS ANKA. Foto: Tentera Udara Diraja Malaysia

Dari sudut teknikal, varian ANKA milik TUDM dilengkapi keupayaan operasi berasaskan kawalan satelit yang membolehkan ia berfungsi melangkaui jarak talian pandang (Beyond Line of Sight). Ia berupaya beroperasi pada altitud sehingga 30,000 kaki dengan daya tahan terbang antara 24 hingga 30 jam, bergantung kepada konfigurasi muatan.

Selain misi pengawasan, ANKA-S turut mempunyai keupayaan ofensif. Ia mampu membawa sehingga empat peluru berpandu MAM-L Smart Micro yang dibangunkan oleh ROKETSAN untuk misi serangan darat. Dari segi muatan, pesawat ini menyokong kapasiti antara 250 hingga 350 kilogram dengan gabungan penderia elektro-optik/infra merah beresolusi tinggi, radar apertur sintetik bermode maritim, serta sistem pautan data bersepadu.

Keupayaan ini membolehkan ANKA-S melaksanakan liputan kawasan perairan yang luas serta mengenal pasti sasaran dengan lebih tepat, walaupun dalam keadaan cuaca buruk. Ciri ini menjawab jurang pemantauan berterusan di kawasan pesisir negara yang panjang, selain menyokong aktiviti pengawasan aset minyak dan gas lepas pantai, perkapalan, serta komuniti nelayan.

Kesiapsiagaan TUDM dalam operasi ANKA-S

Kesediaan TUDM mengikuti kursus ini, mencerminkan kesungguhan dalam memastikan pengendalian pesawat UAS ANKA ini berjalan dengan baik ketika operasi. Foto: Tentera Udara Diraja Malaysia

Kejayaan TUDM memperoleh aset pertahanan baharu dari Turkiye, membuktikan kesiapsiagaan anggota dalam mengoperasikan sistem tersebut. Baru-baru ini, seramai tujuh pegawai dan 19 anggota TUDM berjaya menamatkan Kursus Senggaraan UAS ANKA 0-Level Maintenance di fasiliti TAI.

Latihan berstruktur yang berlangsung dari 30 Jun hingga 15 Ogos itu merangkumi tiga modul utama, iaitu Mechanical & Engine Systems, Avionics Systems dan Ground Control Systems. Melalui kursus ini, anggota TUDM dipersiapkan dengan kemahiran teknikal penting bagi memastikan keberkesanan operasi ANKA apabila diterima kelak.

Pengurus Besar Akademik TAI dalam satu kenyataan, turut merakamkan penghargaan atas komitmen para pegawai dan anggota TUDM sepanjang latihan dan menyatakan keyakinan bahawa TUDM mampu mengoperasikan aset baharu ini dengan baik. Kepentingan latihan serta kecekapan dalam aspek senggaraan amat penting untuk memastikan pesawat kekal berada pada tahap kesiagaan tertinggi.

Khaled Nordin menegaskan, bahawa pengoperasian ANKA akan meningkatkan lagi keupayaan Intelligence, Surveillance and Reconnaissance (ISR) negara, sekali gus mempercepat proses penyaluran maklumat, membolehkan tindakan responsif yang pantas, serta meningkatkan keberkesanan pemantauan masa nyata tanpa perlu menggunakan kekuatan senjata.

Strategi jangka panjang

Kejayaan peroleh tiga unit UAS ANKA, satu capaian TUDM dalam melangkah ke arah pertahanan yang lebih maju dan kukuh. Foto: Tentera Udara Diraja Malaysia

Penerimaan UAS ANKA bukan sahaja merupakan sebahagian daripada hala tuju jangka panjang TUDM ke arah pengoperasian sistem berautonomi yang lebih meluas. Malah, ANKA membuka ruang untuk integrasi teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) yang dijangka memudahkan pengendalian dan meningkatkan kecekapan operasi di masa depan.

Dalam konteks serantau, kehadiran ANKA meletakkan Malaysia sebagai antara negara progresif dalam penggunaan sistem dron ketenteraan. Ia mencerminkan kesungguhan negara memperkukuh keupayaan kawalan udara dan maritim, seiring cabaran keselamatan serantau yang semakin kompleks.

Langkah ini sekali gus menjadi simbol transformasi teknologi pertahanan negara. Dengan keupayaan teknikal yang tinggi serta sokongan sumber manusia yang telah dilatih secara khusus, ANKA-S bukan sahaja aset pengawasan, malah kunci penting dalam memastikan ruang udara dan perairan negara kekal berada dalam kawalan.

Kehadiran aset ini menegaskan bahawa Malaysia komited dalam menjamin keselamatan serta mempertahankan kedaulatan negara, di samping membuktikan bahawa TUDM bersedia melangkah ke dimensi baharu dalam kawalan udara maritim. -airtimes.my

#Airtimes #ANKA #UAV #UAS #TAI #TUDM #Pertahanan #Turkiye #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply