PUTRAJAYA, 10 Okt – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bersama Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) mempertingkatkan kemahiran mencari dan menyelamat (CARILAMAT) melalui Search and Rescue Exercise (SAREX) Malaysia-Indonesia (MALINDO) Siri 43/2024.
Eksesais selama 2 hari di Putrajaya itu melibatkan pelbagai agensi penyelamat dan keselamatan negara termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM); Majlis Keselamatan Negara (MKN); Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM); Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM); Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM); Jabatan Laut Malaysia (JLM) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
Latihan ini juga melibatkan kerjasama dari Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Luar Negeri.
Ketua Delegasi Malaysia, Kepten Maritim Mohd Ariz Md Kassim berkata, kerjasama melalui SAREX MALINDO adalah penting dalam memperkukuh jaringan kerjasama antara Malaysia dan Indonesia, termasuklah dalam perkongsian maklumat dan sumber, serta pertukaran kemahiran dan kepakaran.
Ini adalah bagi memastikan keselamatan perairan kedua-dua negara terjamin untuk komuniti setempat dan pelaut antarabangsa.
“Latihan ini merupakan pendekatan penting untuk meningkatkan keupayaan dalam operasi CARILAMAT dan memastikan keselamatan perairan serantau, khususnya di Selat Melaka, yang merupakan laluan pelayaran tersibuk di dunia,” tambahnya.

SAREX MALINDO Siri ke-43 ini merupakan acara tahunan yang dihoskan secara bergilir oleh Malaysia dan Indonesia di bawah Kerjasama General Border Committee (GBC) MALINDO. Foto: APMM
SAREX MALINDO dimulakan dengan ucapan aluan oleh Ketua Delegasi Indonesia, Noer Isrodin dari BASARNAS, diikuti oleh Kepten Maritim Mohd Ariz.
Pada hari pertama, eksesais dilaksanakan dengan taklimat pelaksanaan SAREX MALINDO yang menumpukan kepada pengujian saluran komunikasi antara Maritim Rescue Coordination Centre (MRCC) dan Rescue Coordination Centre (RCC), serta agensi penyelamat dari kedua-dua negara.
Komander Maritim Mohd Ardi Mat Nawi, yang bertindak sebagai Exercise Controller (EXCON) menyatakan, eksesais ini juga bertujuan menilai koordinasi bersama dalam prosedur dan tatacara SOP SAR MALINDO serta meningkatkan hubungan kerjasama antara RCC/RSC dalam melaksanakan operasi CARILAMAT secara bersama.
Hari kedua eksesais pula dimulakan dengan Command Post Exercise (CPX) dan diakhiri dengan Post Exercise Debrief.
Acara ditutup dengan ucapan penutup dari Ketua Delegasi Malaysia dan Indonesia, serta pertukaran cenderamata sebagai tanda penghargaan terhadap kerjasama yang terjalin.
SAREX MALINDO Siri ke-43 ini merupakan acara tahunan yang dihoskan secara bergilir oleh Malaysia dan Indonesia di bawah Kerjasama General Border Committee (GBC) MALINDO.-airtimes.my
#keselamatan #APMM #BASARNAS #Malaysia #Indonesia #airtimes


